EKONOMI

MALAYSIA BERPOTENSI MENJADI HAB SERANTAU BAGI PEMBUATAN EV - TIMBALAN MENTERI

12/11/2024 09:37 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Malaysia berpotensi menjadi hab serantau bagi pembuatan kenderaan elektrik (EV) di ASEAN berdasarkan kepada sejarah 40 tahun dalam pengeluaran automotif sejak 1983 dan kluster perindustrian semikonduktor yang kukuh, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata Malaysia berhasrat untuk memupuk integrasi lebih baik antara industri automotif dan semikonduktor dengan matlamat menjadi hab terkemuka bagi mereka bentuk cip khususnya untuk sektor automotif.

“Malaysia adalah lokasi yang sangat menarik, kami adalah pengeksport produk semikonduktor keenam terbesar di dunia. Walaupun kita mungkin tidak mempunyai jenama keluaran tempatan, Malaysia memainkan peranan penting terutamanya di dalam proses backend,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sebelum merasmikan pameran E-Mobility Asia di sini hari ini.

Beliau berkata semasa lawatannya ke Detroit, Amerika Syarikat (AS) tahun lepas, Setiausaha Perdagangan AS, Gina M. Raimondo memberitahu ketika dalam satu pertemuan bahawa apabila Malaysia melaksanakan sekatan pergerakan penuh (lockdown) semasa pandemik COVID-19, kilang automotif di Detroit terpaksa ditutup.

“Ini kerana cip yang mereka harapkan datang dari Malaysia dan beberapa syarikat semikonduktor di Malaysia memberikan sumbangan ketara dalam cip automotif global.

“Justeru, apabila bercakap mengenai industri automotif terutamanya elektrifikasi mobiliti, adalah penting untuk kita tidak bekerja secara ‘silo’ (bersendirian).

“Saya mahu melihat industri ini memupuk penciptaan produk baharu, reka bentuk litar bersepadu dan cip automotif yang dikeluarkan oleh Malaysia. Ini akan membolehkan Malaysia bukan sahaja mengeksport alat ganti automotif tetapi juga cip automotif," tambahnya.

Selain itu, Liew berkata aspirasi lain adalah untuk mengurangkan penggunaan keseluruhan petroleum negara melalui elektrifikasi mobiliti.

“Jika anda bertanya, kebanyakan orang akan menyangka bahawa Malaysia adalah pengeksport bersih petroleum, itu tidak benar. Malaysia adalah pengimport bersih petroleum dan pengimport bersih ke-21 terbesar petroleum.

“Saya menggalakkan anda menawarkan idea baharu untuk membantu meneroka pendekatan yang berbeza, supaya elektrifikasi bukan sekadar peluang perniagaan untuk pengilang tetapi agenda nasional yang bertujuan mengurangkan penggunaan petrol secara keseluruhan,” katanya.

Kerajaan Malaysia menetapkan sasaran untuk kenderaan elektrik membentuk 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan (TIV) menjelang 2030, 50 peratus menjelang 2040 dan 80 peratus menjelang 2050.

“Walaupun ia kelihatan bercita-cita yang tinggi memandangkan kita bermula dari asas, Tinjauan EV Global tahunan Agensi Tenaga Antarabangsa menekankan beberapa arah trend utama...EV hanya membentuk dua peratus daripada TIV secara global pada 2018.

“Menjelang 2022, ia telah meningkat kepada 14 peratus daripada TIV di seluruh dunia...menjelang 2023, ia mencapai 18 peratus. Oleh itu, mencapai 20 peratus daripada TIV menjelang 2030 bukanlah sasaran yang sukar dicapai bagaimanapun ia memerlukan usaha bersepadu. Ia memerlukan kita berfikir di luar kotak (berfikir di luar kebiasaan),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan