DUNIA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP RENDAH

12/11/2024 09:43 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri peningkatan empat hari berturut-turut dengan ditutup rendah hari ini berikutan kadar eksport yang lemah menjejaskan harga, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata sentimen pasaran juga dipengaruhi oleh harga niaga hadapan minyak soya di Lembaga Perdagangan Chicago yang rendah ketika waktu dagangan Asia.

"Kami mengesan paras sokongan pada RM5,000 dan paras halangan pada RM5,200 satu tan," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta November 2024 susut RM46 kepada RM5,224 satu tan, Disember 2024 turun RM157 kepada RM5,076 dan Januari 2025 merosot RM170 kepada RM5,026.

Kontrak Februari 2025 turun RM177 kepada RM4,960 satu tan, Mac 2025 susut RM176 kepada RM4,853, dan April 2025 susut  RM176 kepada RM4,727.

Jumlah dagangan naik kepada 131,965 lot daripada 79,094 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 239,980 kontrak daripada 238,158 sebelum itu.

Harga MSM fizikal bagi November Selatan susut RM80 kepada RM5,200 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan