JENAYAH & MAHKAMAH

IMIGRESEN SABAH HANTAR 227 WARGA INDONESIA KE NEGARA ASAL

13/11/2024 02:16 PM

TAWAU, 13 Nov (Bernama) -- Seramai 227 pendatang tanpa izin warga Indonesia yang ditempatkan di Depot Imigresen di Kota Kinabalu serta Papar dihantar ke negara asal melalui  Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Terminal Tunon Taka, Indonesia semalam. 

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata proses pemindahan itu melibatkan mereka berumur antara 2 hingga 82 tahun membabitkan 107 lelaki, 71 wanita serta 49 kanak-kanak, menggunakan Feri Purnama Express serta Labuan Express.

"Ini ialah program pemindahan pendatang tanpa izin siri ke-19 untuk kategori usir melalui laut bagi tahun 2024, mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 serta Peraturan Peraturan Imigresen 1963, " katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata program pemindahan itu dilaksanakan dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kota Kinabalu serta Konsul Republik Indonesia di Tawau.

Sh Sitti Saleha berkata pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuasaan selain pemindahan pendatang tanpa izin yang selesai menjalani proses perundangan serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan