EKONOMI

TUN DAIM, DARIPADA AHLI PERBANKAN, PEMAJU HARTANAH KEPADA INDIVIDU PENTING DALAM TANGANI CABARAN EKONOMI NEGARA

13/11/2024 03:59 PM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Pemergian bekas Menteri Kewangan keenam Tun Daim Zainuddin hari ini adalah satu kehilangan bukan sahaja kepada negara, malah kepada komuniti perniagaan terutama dalam sektor perbankan dan hartanah.

Allahyarham yang dilahirkan pada 29 April 1938 di Alor Setar, Kedah merupakan anak bongsu daripada 13 beradik.

Beliau yang menerima pendidikan awal di Seberang Perak Malay School di Alor Setar kemudiannya melanjutkan pelajaran di sekolah aliran Inggeris Kolej Sultan Abdul Hamid dan menamatkan pendidikan menengah atas di St Xavier’s Institution, George Town, Pulau Pinang.

Seterusnya Tun Daim melanjutkan pengajian dalam Barrister-at-Law di Lincoln’s Inn, London pada 1959 dan perancangan bandar di University of California, Berkeley pada 1979.

 

Individu penting dalam pemulihan ekonomi Malaysia 

Allahyarham Daim dikenali dalam kalangan ahli perbankan, taikun, ahli politik dan media sebagai individu penting yang menyelamatkan Malaysia daripada kemelut ekonomi pada 1980-an dan sekali lagi pada 1990-an.

Disifatkan oleh pemerhati perniagaan sebagai seorang yang berhati-hati tetapi amat bijak sebagai ahli ekonomi dan usahawan, Daim paling dikenali sebagai individu penting dalam menangani cabaran ekonomi kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (1984-1991 dan 1999-2001).

Sepanjang penggal pertama beliau sebagai Menteri Kewangan, Daim bukan sahaja membantu memulihkan ekonomi negara, malah membolehkan Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi antara yang tertinggi di Asia.

Daripada pertumbuhan negatif 1.03 peratus pada 1985, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 9.06 peratus pada 1989, meletakkan negara pada landasan kukuh untuk pertumbuhan yang lebih pesat.

 

Tokoh terkenal dalam bidang hartanah dan kewangan 

Sebelum menyertai politik, Daim telah mencatat kejayaan dalam bidang hartanah dan kewangan.

Selain bidang politik, Daim telah memberikan sumbangan yang besar kepada sektor perniagaan. Usaha awal beliau dalam industri pengeluaran garam dan plastik menghadapi pelbagai cabaran tetapi pada 1973, beliau menceburi bidang pembangunan hartanah dengan menubuhkan Syarikat Maluri Sdn Bhd.

Syarikat tersebut memainkan peranan penting dalam membangunkan dua kawasan perbandaran di Kuala Lumpur, iaitu Taman Maluri dan Taman Bukit Maluri.

Pada 1981, Daim mengambil alih Indo-Suez Bank dan menamakannya semula sebagai Malaysian-French Bank. Beliau kemudiannya menukar pemilikan utamanya dalam Malaysian-French Bank dengan pegangan yang lebih kecil dalam United Malayan Banking Corporation, kini dikenali sebagai RHB.

Sumbangan beliau kepada Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan syarikat pelaburan UMNO, Fleet Holdings Sdn Bhd, memperlihatkan peranannya yang berpengaruh dalam membentuk landskap perniagaan Malaysia.

 

Meninggalkan sektor perbankan untuk membantu memulihkan ekonomi negara 

Dalam langkah strategik selepas berundur sebagai menteri, Daim menubuhkan sebuah syarikat pelaburan International Commercial Bank (ICB) di Switzerland pada 1991, menunjukkan hasratnya untuk memainkan peranan penting dalam arena kewangan global.

Langkah tersebut memperlihatkan pandangan jauh Daim dalam menubuhkan sebuah institusi kewangan di Switzerland, hab yang diiktiraf untuk perbankan antarabangsa.

Dalam dekad seterusnya, ICB, di bawah bimbingan Daim, mengembangkan operasinya ke peringkat global, menceburi pasaran Sierra Leone dan Gambia.

Walaupun mencatatkan kejayaan yang besar dalam industri perbankan, beliau terpaksa melepaskan sektor perbankan apabila dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 1999 atas permintaan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir untuk menangani isu ekonomi berikutan Krisis Kewangan Asia.

Selepas tempoh yang singkat memegang jawatan tersebut, beliau meletakkan jawatan dan meninggalkan dunia politik sepenuhnya untuk memberi tumpuan kepada perniagaannya.

 

Kembali untuk menerajui Majlis Penasihat Kerajaan

Daim, yang juga dikenali sebagai 'orang kanan' Dr Mahathir, membuat kemunculan semula dalam arena politik dan pentadbiran negara pada 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke-14, apabila bekas menteri kewangan itu diberi tanggungjawab untuk menerajui Majlis Penasihat Kerajaan.

Majlis itu termasuk bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden Petronas Tan Sri Mohd Hassan Merican, taikun Robert Kuok dan ahli ekonomi Jomo Kwame Sundaram.

Majlis itu bertujuan menasihati kerajaan dalam perkara berkaitan ekonomi dan kewangan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan