KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Syarikat pembetungan nasional Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd hari ini mengadakan Karnival 3 Dekad IWK Memelihara Kesejahteraan Rakyat bersama penduduk Mukim Karangan, Kulim, Kedah.
Ketua Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar IWK Pauzi Mohamed berkata menerusi karnival itu, program kesedaran Ops Sedut diadakan bagi mendekati masyarakat setempat dan menyampaikan maklumat mengenai kepentingan pengosongan tangki septik.
“Sempena 30 tahun penubuhan IWK, kami terus komited memastikan kelestarian alam sekitar terpelihara demi kesejahteraan rakyat. Bagi premis yang menggunakan sistem pembetungan tangki septik individu, pengguna hendaklah faham tangki ini berfungsi sebagai tangki menerima air sisa kumbahan dan mempunyai kapasiti rawatan yang terhad.
“Sekiranya tidak dikosongkan, ia boleh menyebabkan air sisa kumbahan tidak dirawat dan seterusnya mengalir ke sungai atau perairan sehingga boleh mencemarkan sumber air negara. Sisa kumbahan hendaklah dilupuskan dengan cara yang selamat bagi mengelakkan berlakunya penyebaran penyakit bawaan air,” katanya dalam kenyataan.
Program itu dirasmikan Pegawai Daerah Kulim Mohd Zaini Ramli.
Pauzi berkata di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, semua pemilik, pengurusan atau penghuni premis yang mempunyai tangki septik perlu menjalankan nyahenap cemar secara berjadual.
Kegagalan mematuhi peraturan itu katanya merupakan satu kesalahan di bawah subseksyen 65(3) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000, jika sabit kesalahan.
“Di Malaysia, terdapat kira-kira 1.35 juta pengguna tangki septik yang perlu dikosongkan secara berkala sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun. Diharapkan program libat urus bersama komuniti dapat meningkatkan kesedaran kepada semua pemilik tangki septik untuk menjalankan tanggungjawab mengosongkan tangki demi alam sekitar,” katanya.
Program berkenaan merupakan antara aktiviti kesedaran yang diadakan bertujuan memberikan penjelasan lebih teliti mengenai Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Perkhidmatan Nyahenap Cemar) 2021.
Kira-kira 500 penduduk daripada 10 kampung di mukim itu hadir menyaksikan demonstrasi pengosongan tangki septik serta cucian lestari oleh IWK yang merupakan kaedah terbaik bagi mengelak lebihan minyak atau lemak memasuki saluran pembetungan.
Ketua Wilayah Utara Jabatan Perniagaan Nyahenap Cemar IWK Wan Abdul Jalil Wan Husin berkata program itu mendapat sambutan menggalakkan penduduk kampung dan sehingga hari ini, sebanyak 250 premis telah mendaftar dengan IWK untuk mendapatkan perkhidmatan pengosongan tangki septik.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk sukan rakyat, aktiviti jalan 10,000 langkah, taklimat daripada penceramah jemputan, pertandingan mewarna dan pertandingan gubahan.
-- BERNAMA