SHAH ALAM, 14 Nov (Bernama) -- Proses penganugerahan projek Pakej Fasa 1B Lebuhraya Pan Borneo Sabah dibuat mengikut prosedur ditetapkan sebelum syarikat yang terpilih diumumkan oleh Kementerian Kewangan (MOF), kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Nanta berkata walaupun MOF mempunyai kuasa mutlak memilih syarikat bagi melaksanakan projek itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) selaku kementerian bertanggungjawab telah melakukan semakan dan perbincangan awal dengan Jabatan Kerja Raya Sabah selepas menerima senarai syarikat yang dibawa oleh agensi itu.
“Apabila kita terima senarai daripada JKR Sabah, kita semak semula dan kita juga ada kuasa untuk bagi pandangan sebelum dihantar ke MOF.
“MOF sudah beri balik keputusan mereka dan kita (KKR) sudah arahkan JKR Sabah mengeluarkan surat setuju terima kepada mereka yang terpilih,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Hari Komuniti MyPLUS di Sekolah Kebangsaan HICOM di sini hari ini.
Nanta berkata demikian ketika mengulas isu penganugerahan tender projek berkenaan kepada syarikat yang didakwa tidak dinilai.
Pada sidang Dewan Rakyat semalam, beberapa ahli Parlimen membangkitkan perkara tersebut kepada Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mendakwa tender Projek Pan Borneo oleh MOF diberikan kepada syarikat yang tidak dinilai.
Mereka turut meminta penganugerahan tender kepada syarikat terbabit ditarik balik.
Nanta berkata semua pihak terlibat telah melalui prosedur yang ditetapkan sepanjang proses penganugerahan tender berkenaan dan pihak KKR mendapati tiada masalah berhubung proses itu.
Katanya dalam hal itu, MOF sememangnya mempunyai kuasa untuk memikirkan dan menentukan siapa sepatutnya diberikan tawaran atau diluluskan permohonan mereka.
“Kita lalui prosedur ditetapkan, tiada masalah dan tidak boleh katakan mesti ikut senarai diangkat JKR Sabah sebab MOF yang ada kuasa mutlak menentukannya,” katanya.
-- BERNAMA