AM

PEMILIK BOT DIDENDA RM5,000 BENARKAN WARGA ASING BEKERJA

14/11/2024 03:02 PM

CHUKAI, 14 Nov (Bernama) -- Seorang pemilik bot hari ini didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membenarkan warga asing bekerja di atas botnya tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Sheikh Abdul Halliff Hatta Sheikh Abd Hamid, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada jarak lebih kurang tujuh batu nautika dari daratan Kuala Kemaman pada 11.20 pagi, 27 Okt lepas mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(b) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 34 akta sama yang mana jika mahkamah berpuas hati dengan pembuktian bahawa mana-mana bot, kenderaan atau barang yang disita digunakan dengan menyalahi akta tersebut, ia boleh diperintahkan untuk dilucut hak walaupun tiada seorang pun didapati bersalah melakukan kesalahan itu. 

Timbalan Pendakwa Raya Izani Nashtasya Isa memohon hukuman setimpal agar menjadi pengajaran manakala Sheikh Abdul Halliff Hatta yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengenakan hukuman rendah atas faktor kewangan. 

Wan Suhaila kemudian memerintahkan denda RM5,000 dan penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu manakala bot yang disita dibenarkan untuk dikembalikan semula kepada tertuduh.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan