GEORGE TOWN, 14 Nov (Bernama) -- Sumbangan satu set komputer berkeupayaan tinggi dan sebuah televisyen pintar kepada universiti awam sangat bermanfaat kepada pelajar-pelajar, terutama selaras dengan perkembangan pendigitalan yang memerlukan peranti serba canggih, kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed.
Beliau berkata sumbangan yang diterima daripada Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) itu boleh digunakan bagi tujuan pengajaran serta pembelajaran dalam kelas oleh pelajar dan pensyarah.
"USM mengucapkan terima kasih kepada Bernama atas sumbangan set komputer berkeupayaan tinggi dan televisyen pintar itu..
"Di zaman pendigitaan ini, sumbangan sedemikian sangat bermanfaat kepada pelajar, untuk sama-sama kita manfaatkan set komputer berkeupayaan tinggi ini," katanya semasa berucap pada Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa bagi Zon Utara di USM, hari ini.
Terdahulu Kementerian Komunikasi menerusi Bernama selaku Urusetia HAWANA 2024 menyampaikan sumbangan set komputer berkeupayaan tinggi dan televisyen bersaiz 65 inci kepada Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di USM, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).
Sumbangan itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2024 pada majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2024 Arul Rajoo Durar Raj.
Abdul Rahman berkata penganjuran Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa bagi Zon Utara bukan sahaja dapat memartabatkan bidang kewartawanan sebagai satu cabang penting dalam pembangunan negara, malah dapat memberi ilmu kepada bakal wartawan.
Beliau berkata adalah satu penghormatan bagi USM dipilih sebagai tuan rumah untuk program itu bagi Zon Utara, dan ia memberi banyak fakta dan ilmu baharu kepada pelajar-pelajar universiti.
"Saya bersyukur pada hari ini kita dapat berkumpul bersama-sama dalam program ini, dan saya mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Bernama kerana telah sudi menjemput USM melalui Pusat Pengajian Komunikasi sebagai rakan strategik dan penyelaras bersama HAWANA 2024 bagi Zon Utara.
"Tidak ketinggalan penghargaan saya tujukan kepada Kementerian Komunikasi atas penganjuran program seperti ini yang sangat USM alu-alukan kerana telah memartabatkan bidang kewartawanan sebagai satu cabang penting dalam pembangunan negara," katanya.
Sementara itu Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM Prof Madya Dr Bahiyah Omar berkata pengisian program itu sangat bermanfaat kepada pelajar-pelajar komunikasi terutama yang berkaitan dengan bidang kewartawanan.
Beliau berkata menerusi perkongsian yang dijalankan di program itu, ia dapat memberi pengetahuan dan maklumat kepada Pusat Pengajian Komunikasi USM untuk menambah baik program kewartawanan di situ.
"Kita tengok sisi perkongsian yang dijalankan semasa program itu juga sangat bermanfaat dan penting untuk pelajar-pelajar kewartawanan, ini adalah nilai tambah, terutama dalam bidang pendigitalan supaya mereka dilengkapkan dengan kemahiran ilmu dalam mendepani cabaran digital masa kini," katanya.
Turut senada adalah Pengerusi Jawatankuasa program itu bagi Pusat Pengajian Komunikasi USM Prof Madya Dr Nik Norma Nik Hassan, yang berkata program itu memberi impak positif kepada pelajar kerana mereka mendapat pendedahan terus dari pihak industri dalam bidang kewartawan.
"Program itu memberi pendedahan terus dari pihak industri kepada pelajar-pelajar kita yang sangat dahagakan ilmu baharu dalam bidang kewartawanan, mereka sebelum ini belajar dalam kelas sahaja dan hari ini dapat terus secara bersemuka (dengan industri)," katanya pihaknya sangat menghargai peluang tersebut.
Bagi pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) Luqhman Hakim Dahlah Tabah, beliau berpandangan program itu akan memberikan suntikan kepada pelajar-pelajar UNIMAP, dalam masa sama melahirkan mahasiswa yang dilengkapi dengan ilmu dalam pelbagai bidang diceburi mereka.
"Program ini kita lihat memberikan nilai tambah kepada pelajar kerana mereka didedahkan mengenai ilmu kewartawanan oleh pihak industri, dan mereka tengok sendiri bagaimana prosesnya berjalan, jadi ia ilmu baharu kerana nampak gambaran yang lebih jelas dengan apa yang mereka belajar di univerisiti sama ada ia digunakan atau tidak dan sebagainya," katanya.
-- BERNAMA