PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- IOI Properties Group Bhd (IOIPG) hari ini melancarkan IOI Sustain Roadmap 2030 (ISR 2030), satu rangka tindakan strategik yang dibangunkan untuk memacu kemajuan mampan merentasi semua aspek operasi kumpulan itu dan diterapkan di seluruh peringkat organisasi.
Ketua Pegawai Operasi IOIPG (Pembangunan Hartanah) Teh Chin Guan berkata ISR 2030 menggariskan 12 tonggak strategik memacu inisiatif kumpulan ke arah menangani aspek Ekonomi, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (EESG) yang berkaitan.
"Pelan hala tuju itu terdiri daripada 12 strategi utama bertujuan menangani perubahan iklim, biodiversiti, pengurusan sisa, kewangan mampan, pengurusan rantaian bekalan, kesejahteraan pekerja serta risiko dan peluang kemampanan," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran pelan hala tuju tersebut yang dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Teh berkata menerusi ISR 2030, IOIPG akan terus mewujudkan pembangunan mampan, memastikan penciptaan nilai jangka panjang sambil menyokong matlamat iklim global.
Beliau berkata di bawah ISR 2030, kumpulan itu komited untuk mereka bentuk rumah yang lestari dan bangunan komersial yang mengutamakan ciri hijau serta meminimumkan kesan alam sekitar.
"Berpandukan ISR 2030 kami, kami menyokong dan menerima penggunaan tenaga boleh diperbaharui, dan untuk menangani risiko iklim secara proaktif, mereka bentuk pembangunan dan aset kami untuk masa depan dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
"Kami secara strategik melabur dalam penjanaan tenaga suria untuk hartanah dalam portfolio kami, termasuk galeri jualan, pusat beli-belah, menara pejabat dan produk kediaman atas tanah. Pelaburan ini menyumbang secara ketara kepada pengurangan pelepasan karbon keseluruhan ke arah objektif karbon rendah kami," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi IOIPG (Pelaburan Hartanah) Chris Chong Voon Fooi berkata pusat beli-belah kumpulan itu IOI City Mall telah dilengkapi dengan sistem fotovoltaik suria (PV)
"Sistem PV suria dengan tenaga boleh diperbaharui itu melengkapkan sistem 3.5 Megawatt puncak (MWp) sedia ada pusat beli-belah berkenaan dengan pengurangan 3,358 jumlah pelepasan karbon dioksida (tCO2) setahun.
Dibuka secara rasmi pada 2014, IOI City Mall merupakan pusat beli-belah pertama di Malaysia yang dinilai oleh Majlis Bangunan Hijau Malaysia (MGBC) untuk Skor Karbonnya dan dinilai 44 peratus bagi bangunan sifar karbon," katanya.
IOIPG melantik TERA VA Sdn Bhd (TERA) untuk menempatkan, memasang dan menyelenggara sistem PV suria bagi membekalkan tenaga boleh diperbaharui untuk keperluan operasi harian IOI City Mall.
Pemasangan panel bermula pada Januari dan siap pada Mac 2024.
Di samping itu, kerja-kerja pemasangan sistem PV suria 250.4 kilowat puncak (kWp) untuk Kelab Golf Palm Garden IOIPG juga telah dimuktamadkan, manakala sistem PV solar 2,336 kWp hampir siap di IOI Mall Puchong, dengan jangkaan mengurangkan pelepasan sebanyak 2,367.40 tCO2 setahun.
-- BERNAMA