EKONOMI

MALAYSIA DIJANGKA JADI HAB PEMBUNGKUSAN ASIA TENGGARA DALAM TEMPOH 10 TAHUN - REED EXHIBITIONS

14/11/2024 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Malaysia dijangka menjadi hab pembungkusan pengeluaran di Asia Tenggara dalam tempoh 10 tahun lagi, kata Ketua Pegawai Eksekutif Reed Exhibitions (RX) China Josephine Lee.

Lee berkata perubahan strategik dalam industri pengeluaran global menjadikan Asia Tenggara sebagai salah satu daripada rantau paling dinamik dan menggalakkan bagi pembangunan ekonomi.

“Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran pembungkusan Asia Tenggara, menyaksikan pertumbuhan dan perubahan penting terutama dalam sektor makanan dan minuman, e-dagang serta kesihatan.

“Pasaran pembungkusan Asia Tenggara dijangka mencatatkan pertumbuhan pesat, dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) serantau diunjur berkembang sebanyak 4.7 peratus pada 2025-2026,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Wepack ASEAN 2024 hari ini.

Mengenai prestasi industri pembungkusan Malaysia tahun ini, Pengerusi Persatuan Pengilang Karton Beralun Malaysia (MACCMA) Henry Low menjangkakan pemulihan yang lebih teguh pada Mac atau April 2025.

“Ia bergantung kepada faktor serantau dan bermusim selain tekanan ekonomi global yang menjadi penyumbang utama kepada aliran semasa.

“Pemulihan ini mungkin dirangsang oleh jangkaan hubungan Malaysia-China yang semakin bertambah baik berikutan perkembangan politik akan datang, yang boleh mempengaruhi aliran pelaburan dan keadaan perdagangan,” katanya.

Wepack ASEAN 2024 anjuran bersama RX dan MACCMA adalah pameran mengenai pengeluaran kontena pembungkusan dan penggunaannya di Asia Tenggara.

Pameran perdagangan edisi kedua itu yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 14-16 Nov, dijangka dihadiri lebih 5,000 delegasi daripada seluruh dunia untuk mengkaji dan mempelajari teknologi terkini dalam industri, penyelesaian mampan dan peluang pertumbuhan transformasi.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan