KANGAR, 14 Nov (Bernama) -- Mengenal pasti bagaimana adat serta tradisi dapat dihormati dan disesuaikan dengan nilai agama tanpa melanggar prinsip keagamaan antara fokus Persidangan Majlis Ilmuwan Nusantara (MIN) kali kedua tahun ini bertemakan ‘Imbangan Antara Agama dan Budaya’.
Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini akan mengupas peranan adat seperti seni, pakaian dan hiburan supaya tidak bercanggah dengan agama.
“Persidangan kali ini melibatkan penyertaan sebanyak 30 ilmuwan dari beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei, Kemboja dan Vietnam dengan memfokuskan kepada keseimbangan antara adat kebudayaan dan nilai agama dalam masayarakat Nusantara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian persidangan itu yang disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kompleks DUN di sini hari ini.
Pada majlis perasmian itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan melancarkan laman web rasmi Majlis Ilmuwan Nusantara yang antara lain maklumat serta hasil perbincangan persidangan itu akan dimuat naik melalui laman web rasmi berkenaan untuk rujukan orang ramai.
Mohd Asri berkata jika hasil perbincangan persidangan itu lengkap ia akan dibukukan untuk menjadi bahan rujukan bagi manfaat bersama.
Untuk rekod, persidangan majlis ilmuwan Nusantara itu julung kali dianjurkan di Perlis pada Februari lepas, bertemakan 'Manhaj Ahlus Sunnah Asas Penyatuan Ummah'.
Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah ucapan perasmian bertitah bahawa tema persidangan majlis ilmuwan Nusantara kali kedua itu amat penting untuk dibahaskan dalam usaha mengimbangi antara prinsip agama dan adat budaya dalam kalangan masyarakat kini.
“Melalui keputusan yang dihasilkan melalui persidangan ini diharapkan mampu memberikan gambaran kedudukan budaya mengikut garis panduan Islam.
“Saya yakin dan percaya agama Islam yang mulia ini tidak sama sekali menolak unsur-unsur adat dan kebudayaan selagi mana ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam yang murni ini,” titah baginda.
-- BERNAMA