DUNIA

JERMAN, MALAYSIA PERLU LEBIH USAHA TINGKAT PENYERTAAN WANITA DALAM SEKTOR AWAM - DUTA

14/11/2024 10:44 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Jerman masih berhadapan cabaran dalam mencapai kesaksamaan jantina di peringkat kepimpinan, terutamanya dalam sektor awam.

Duta Besar Jerman ke Malaysia, Dr Peter Blomeyer berkata faktor seperti prasangka, peranan jantina tradisi jantina dan pemikiran kompetitif terus menghalang penyertaan penuh wanita dalam sektor awam.

"Kita masih mempunyai perjalanan yang panjang untuk mengubah minda, baik di Jerman dan Malaysia, untuk menjadikannya tidak relevan sama ada lelaki atau wanita menjawat jawatan," katanya.

Blomeyer berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya pada persidangan bertajuk "Penyertaan Politik di Malaysia: Ke Arah Akses Setara Bagi Wanita ke Mandat Politik di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri" yang dianjurkan oleh Kedutaan Jerman di sini, pada Khamis.

"Persidangan ini membincangkan bagaimana kita boleh mengubah keadaan ini, bagaimana lelaki boleh diberi dorongan untuk mengalu-alukan wanita dalam sektor awam di Malaysia dan bagaimana wanita boleh diberi motivasi untuk menyertai sektor awam," tambahnya.

Bercakap kepada Bernama, Blomeyer berkata penyertaan wanita dalam politik adalah isu yang mendesak dan perlu ditangani, sambil berharap persidangan itu akan menghasilkan idea dan cadangan yang konstruktif untuk memperbaiki situasi berkenaan.

Pemimpin wanita termasuk Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, wakil parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik, serta pengamal media adalah antara 70 peserta yang hadir pada persidangan itu.

Timbalan Ketua Misi Kedutaan Ulrike Wolf berkata kedutaan sentiasa menyokong program pemerkasaan wanita di Malaysia dan ini merupakan kali pertama persidangan seperti itu dianjurkan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan