SUKAN

KBS PERTIMBANG PERKENALKAN KOD TATAKELAKUAN BAGI ATLET

14/11/2024 11:45 PM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertimbangkan untuk memperkenalkan kod tatakelakuan bagi atlet pada masa depan.

Menterinya Hannah Yeoh berkata kod berkenaan mungkin merangkumi garis panduan bagi penggunaan media sosial yang lebih bertanggungjawab dalam kalangan atlet terutamanya ketika kejohanan besar seperti Sukan Olimpik atau Paralimpik.

 Berdasarkan kepada sesi post-mortem Sukan Olimpik 2024 dan Paralimpk 2024 di Paris, beliau mengambil contoh tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menasihati pemainnya agar mengelak daripada menggunakan media sosial bagi memastikan mereka kekal fokus pada pertandingan. 

“Kita tidak dapat melaksanakannya kepada pemain profesional tetapi dengan pemain BAM memang kita lakukan. Terdapat atlet lain yang sangat aktif di media sosial dengan memuat naik hantaran berjalan atau bersiar-siar sedangkan sepatutnya ketika itu mereka berlatih. 

“Tetapi inilah dunia media sosial. Kita tidak boleh kata ‘jangan buat hantaran’...tetapi di sini saya rasa kita perlu mempunyai badan yang pakar, kita mahu melihat kemungkinan untuk mewujudkan kod tatakelakuan bagi atlet,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Sesi post-mortem bagi kedua-dua kejohanan sukan itu hari ini dihadiri wakil daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Kewangan, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia, serta pakar dari Universiti Sains Sukan Nippon, Universiti Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi memberikan pandangan masing-masing. 

Hannah berkata sudah tiba masanya untuk para atlet yang mewakili negara mempamerkan tahap disiplin dan profesionalisme lebih tinggi. 

“Saya rasa setakat yang berkaitan dengan kerajaan, kita telah beri banyak kepada atlet terutamanya KWSP ( Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Road To Gold, segalanya kita beri,” katanya. 

Dalam membangunkan kod tatakelakuan ini, beliau berkata adalah penting untuk mengambil kira maklum balas daripada atlet dan bekas atlet selain pandangan oleh pakar bagi memahami bagaimana kod berkenaan dilaksanakan di luar negara. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan