Buli siber, kemurungan dan gangguan kesihatan mental, terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai dengan umur dan lebih parah, jenayah seksual terhadap kanak-kanak sebagai contoh pemangsa dalam talian, antara isu berkait dengan eksploitasi media sosial yang perlu ditangani segera.
Menurut Ipsos, syarikat penyelidikan pasaran dan perunding global, di Malaysia, hampir separuh (47 peratus) ibu bapa tahu seorang kanak-kanak dalam komuniti mereka yang melalui pengalaman pahit ‘buli siber’. Dianggarkan seorang (1) dalam empat (4) orang ibu bapa Malaysia menyatakan anak mereka menjadi mangsa buli siber.
Pada 21 April lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka yang berusia bawah 13 tahun tidak memiliki sebarang akaun media sosial seperti TikTok, Facebook, Instagram atau mana-mana akaun media sosial lain.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dipetik berkata, ini kerana MCMC mendapati bahawa kanak-kanak berusia di bawah 13 tahun tidak sesuai untuk menggunakan mana-mana media sosial di samping kebanyakan syarat platform media sosial juga tidak membenarkan golongan tersebut memiliki akaun media sosial.
Terkini, wujud pula cadangan melarang penggunaan media sosial bagi remaja berumur di bawah 16 tahun. Ini susulan Kerajaan Australia baru-baru ini mengumumkan rancangan menggubal undang-undang bagi melarang penggunaan media sosial untuk remaja di bawah usia 16 tahun, yang menjadi topik hangat di platform media sosial.
GUBAL, KUAT KUASA UNDANG-UNDANG KETAT
Mengulas perkara ini, peguam Dr Mahmud Abdul Jumaat berkata, isu pendedahan kanak-kanak terhadap kandungan negatif, umpamanya yang bersifat keganasan, bahasa kasar dan pornografi adalah cabaran serius apabila ia boleh diakses dengan mudah sama ada melalui media sosial, permainan video atau kandungan lain dalam talian.
Beliau berkata, satu langkah penting yang perlu dilaksanakan ialah menggubal serta menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat bagi melindungi kanak-kanak daripada kandungan sedemikian, di samping memperluas penyeliaan serta pemantauan terhadap platform digital oleh pihak berkuasa.
pic-2
Menurut beliau, Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) merupakan kerangka undang-undang utama di Malaysia yang melindungi hak dan kebajikan kanak-kanak, merangkumi aspek pengabaian, penderaan fizikal dan seksual, eksploitasi dan pemulihan untuk kanak-kanak yang berdepan dengan sistem perundangan.
“Namun begitu, dengan peningkatan ancaman dalam dunia digital, terdapat keperluan untuk memperkukuhkan undang-undang ini bagi menangani jenayah-jenayah spesifik seperti jenayah siber dan eksploitasi seksual dalam talian.
“Terdapat beberapa undang-undang lain yang turut menyumbang kepada perlindungan kanak-kanak. Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), misalnya, memperuntukkan tindakan terhadap kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak, termasuk kesalahan dalam talian seperti grooming dan penghasilan pornografi kanak-kanak.
“Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) pula membantu mengawal kandungan digital dengan melarang kandungan jelik atau lucah yang mungkin memberi kesan negatif terhadap kanak-kanak,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Memberikan contoh kes eksploitasi seksual kanak-kanak di media sosial, Mahmud yang berpengalaman kira-kira 12 tahun sebagai pengamal undang-undang berkata, seorang lelaki didapati bersalah di bawah Seksyen 8(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana meminta pornografi kanak-kanak daripada seorang mangsa berumur 12 tahun melalui platform media sosial, WhatsApp.
“Kes ini bermula apabila mangsa mula berkenalan dengan tertuduh melalui platform Bigo Live, sebuah aplikasi penstriman langsung yang digunakan oleh orang dewasa untuk komunikasi video secara langsung. Melalui platform ini, tertuduh berjaya membina hubungan dengan mangsa yang kemudian berlanjutan ke WhatsApp di mana dia mula meminta gambar dan video berunsur seksual daripada mangsa.
“Dalam kes ini, tertuduh menggunakan ciri media sosial seperti Bigo Live untuk mendapatkan akses kepada kanak-kanak dan memulakan proses grooming. Melalui hubungan yang dibina, mangsa dipercayai mempunyai hubungan cinta dengan tertuduh dan akhirnya menjadi mangsa kepada eksploitasi seksual.
“Tertuduh menggunakan manipulasi emosi dan janji untuk berkahwin sebagai cara untuk mempengaruhi mangsa, walaupun tertuduh tahu atau sepatutnya tahu bahawa mangsa adalah kanak-kanak. Kes ini menjadi lebih buruk apabila tertuduh memujuk mangsa untuk terus memberikan gambar-gambar tidak senonoh, yang akhirnya memberi kesan psikologi kepada mangsa serta keluarga,” jelasnya.
Mahmud berkata, mahkamah memutuskan untuk mengurangkan tempoh penjara kepada 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan mengekalkan arahan agar hukuman dijalankan serentak. Hukuman 10 tahun ini merangkumi dua pertiga daripada hukuman maksimum yang boleh dikenakan bagi setiap kesalahan di bawah undang-undang yang berkenaan.
pic-3
Dalam kes lain, seorang lelaki menghadapi dua tuduhan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 atas kesalahan mengarahkan dan menghasilkan pornografi kanak-kanak.
Tertuduh didakwa menghasilkan bahan pornografi dengan menggunakan kanak-kanak sebagai model dalam sesi fotografi yang melibatkan aksi bersifat lucah menggunakan dua objek sebagai alat peraga.
Tertuduh memberi alasan bahawa aksi fotografi tersebut adalah untuk projek peribadi yang bertemakan pemakanan sihat, yang akan dimuat naik ke platform Shutterstock namun tidak memberitahu mangsa bahawa gambar-gambar tersebut untuk platform berkenaan dan perkara itu hanya disebut semasa perbicaraan.
Menurut Mahmud, antara akta lain yang bertujuan melindungi kanak-kanak (selain di platform media sosial) termasuklah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang menangani isu pemerdagangan kanak-kanak untuk tujuan eksploitasi, dan Akta Kesihatan Mental 2001 (Akta 615) yang memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang mengalami trauma atau gangguan mental akibat penderaan.
“Selain itu, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) berperanan melindungi kanak-kanak di persekitaran sekolah dengan peruntukan untuk menangani isu buli dan disiplin, manakala Kanun Keseksaan (Akta 574) pula merangkumi kesalahan jenayah terhadap kanak-kanak seperti rogol dan cabul, memberikan asas untuk melindungi kanak-kanak daripada keganasan seksual,” katanya.
PLATFORM MANIPULASI, EKSPLOITASI
Mendedahkan kanak-kanak tidak hanya menjadi sasaran individu asing tetapi juga rakan sebaya yang mengambil kesempatan melalui hantaran dan komen berunsur fitnah, dalam hal ini Mahmud berkata, media sosial menjadi platform pemudah bagi pemangsa mendekati kanak-kanak melalui identiti palsu.
“Mereka memanipulasi kanak-kanak dengan pujian atau pemberian maya, mendorong kanak-kanak untuk berkongsi maklumat peribadi atau gambar yang kemudiannya disalahgunakan.
“Ini boleh membawa kepada bentuk eksploitasi seksual yang lebih serius, termasuk ancaman untuk mendedahkan bahan peribadi tersebut sebagai alat memeras ugut (sextortion). Di Asia Tenggara, fenomena ini amat ketara kerana terdapat kes kanak-kanak diperdagangkan atau dieksploitasi sebagai objek seksual akibat manipulasi yang berlaku di media sosial,” katanya.
pic-4
Mengenai eksploitasi menerusi data peribadi kanak-kanak pula, katanya, ia berlaku apabila data peribadi mereka sering kali terdedah di media sosial dan dikumpul oleh aplikasi atau pihak ketiga tanpa pengetahuan atau kebenaran pengguna muda atau cilik ini.
Ini termasuk maklumat seperti lokasi, minat serta aktiviti harian yang boleh dipantau oleh individu tidak bertanggungjawab dan data ini boleh digunakan untuk tujuan pemasaran yang tidak sesuai atau disalahgunakan untuk tujuan penipuan atau eksploitasi lanjut sekali gus meletakkan keselamatan dan privasi kanak-kanak dalam risiko yang tinggi.
“Seterusnya, eksploitasi identiti serta imej peribadi apabila gambar dan video kanak-kanak yang dimuat naik di media sosial boleh diambil dan digunakan tanpa kebenaran untuk tujuan tidak bermoral. Misalnya, gambar yang dimuat naik untuk tujuan biasa boleh dimanipulasi secara digital untuk bahan pornografi kanak-kanak.
“Selain itu, dalam konteks pemerdagangan kanak-kanak, terdapat kes media sosial digunakan sebagai alat bagi tujuan merekrut. Kanak-kanak diperdaya dengan janji palsu untuk peluang pekerjaan yang akhirnya menjadi mangsa eksploitasi seksual atau buruh paksa.
“Terdapat juga eksploitasi menerusi penyebaran kandungan berbahaya dan cabaran berisiko atau "viral challenges" di media sosial yang mendorong kanak-kanak untuk melakukan aktiviti berisiko, yang boleh mendatangkan kecederaan fizikal atau psikologi. Kegiatan seperti ini boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak serta membawa kepada tabiat atau sikap negatif yang mengganggu perkembangan mereka,” katanya.
Menurut Mahmud lagi, Tinjauan Literatur Pemerdagangan dan Eksploitasi Kanak-Kanak di Asia Tenggara menerusi Jurnal Pembangunan Sosial Jilid 21 (September) 2018 mendapati, kanak-kanak yang terdedah kepada media sosial sering mengalami tekanan sosial yang tinggi akibat daripada norma yang dicipta di dalam dunia maya, seterusnya buli siber apabila mereka menerima komen negatif, ancaman dan hinaan yang boleh membawa kepada gangguan mental seperti kemurungan dan kecemasan.
Beliau menambah, pada tahun 2023, bilangan kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkat sebanyak 26.5 peratus kepada 1,567 kes berbanding 1,239 kes pada tahun 2022.
“Kesalahan amang seksual secara fizikal pada tahun 2023 mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 21.1 peratus iaitu 1,389 kes berbanding 1,147 kes pada tahun 2022.
“Kes kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak menerusi media sosial dilaporkan meningkat kepada 525 kes pada tahun 2023 berbanding 360 kes pada tahun 2022. Untuk enam bulan pertama tahun 2024 sahaja, sebanyak 288 kes kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak menerusi media sosial dilaporkan, ” katanya.
BUKAN SALAH MEDIA SOSIAL SEMATA-MATA
Sementara itu berkongsi pandangan, Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Ir Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, isu keselamatan siber dalam kalangan kanak-kanak bukan berpunca daripada media sosial semata-mata, sebaliknya penggunaan peranti dan aplikasi mudah alih seperti permainan dalam talian, komunikasi melalui email serta pembelian di platform dalam talian juga mendedahkan mereka kepada ancaman siber.
pic-5
Mengulas mengenai ‘kawalan’ dan cadangan yang mengehadkan umur kanak-kanak untuk penggunaan media sosial, beliau berkata, perkara itu perlu diperhalusi dengan mengambil kira semua aspek dari segi kebaikan serta keburukannya.
“Langkah yang diambil oleh kerajaan Australia untuk menggubal undang-undang melarang penggunaan media sosial bagi remaja di bawah usia 16 tahun adalah satu tindakan yang mungkin dilihat positif dalam konteks melindungi kesejahteraan mental dan emosi kanak-kanak. Ia bertujuan mengawal pendedahan mereka terhadap kandungan yang tidak sesuai, risiko buli siber dan ketagihan teknologi yang boleh mengganggu perkembangan emosi dan sosial mereka.
“Di Malaysia, peringatan oleh MCMC agar ibu bapa memastikan anak di bawah umur 13 tahun tidak mempunyai akaun media sosial adalah satu inisiatif yang baik, namun pada masa sama menuntut pengawasan dan pendidikan ibu bapa yang lebih menyeluruh.
“Penguatkuasaan undang-undang di peringkat nasional yang serupa dengan Australia mungkin relevan, tetapi ia memerlukan kajian mendalam tentang budaya, penerimaan sosial dan tahap kesedaran digital dalam kalangan masyarakat. Kita perlu ingat, generasi sekarang didedahkan dengan teknologi pada usia yang muda dan mereka mungkin lebih celik IT daripada ibu bapa mereka, maka pengawasan oleh ibu bapa mungkin agak terhad,” katanya.
Berpendapat pendidikan literasi digital adalah kunci kepada isu ini, beliau berkata, walaupun undang-undang yang ketat boleh membantu, peranan ibu bapa dan komuniti dalam mendidik kanak-kanak berhubung penggunaan media sosial yang bertanggungjawab dan selamat adalah perkara utama yang menjadi tuntutan.
“Pengharaman atau larangan semata-mata tanpa bimbingan boleh menyebabkan remaja mencari jalan alternatif yang lebih sukar untuk dipantau. Ibu bapa, guru dan pihak sekolah serta masyarakat secara keseluruhannya perlu memainkan peranan proaktif dalam mewujudkan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak termasuk di platform siber,” jelasnya.
NACSA KAWAL SELIA KESELAMATAN SIBER
Megat Zuhairy berkata, NACSA berperanan dalam memberikan pendedahan berhubung keselamatan siber dan jenayah siber kepada semua peringkat masyarakat termasuk kanak-kanak.
Agensi itu menjalin kerjasama, antaranya, dengan Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, PDRM dan MCMC bagi mengenal pasti dasar serta hala tuju isu keselamatan siber serta jenayah siber terutama yang melibatkan kanak-kanak.
pic-6
Beliau berkata, NACSA juga sedang mengkaji perundangan sedia ada bagi mengenal pasti undang-undang yang perlu dipinda atau diperkukuhkan bagi memastikan hak kanak-kanak terpelihara.
“Saya setuju bahawa perkongsian segala maklumat oleh kanak-kanak akan meningkat risiko mereka menjadi mangsa buli siber. Kerajaan juga membuat keputusan untuk meminda Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah bagi menangani isu buli siber.
“Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September lepas bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Kesedaran Keselamatan Siber yang akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara dengan NACSA sebagai urusetia.
“Jawatankuasa itu bertujuan menyelaras program kesedaran siber di negara ini dengan keahlian bakal terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, pemain industri, badan bukan kerajaan dan institusi pengajian tinggi. Kumpulan sasar dibahagikan kepada dewasa, belia, warga emas, Orang Kurang Upaya dan kanak-kanak,” katanya.
Tambah beliau lagi, NACSA sedang bekerjasama dengan syarikat keselamatan siber- Kaspersky, dalam menterjemah buku kesedaran keselamatan siber yang bertajuk “Midori Kuma and a Very Special Race” ke Bahasa Melayu.
Buku itu yang diolah dalam bentuk penceritaan yang sesuai dan menarik untuk kanak-kanak adalah mengenai penggunakan peranti secara berhemah dan selamat, serta mensasarkan golongan pelajar sekolah rendah. Sehingga kini buku tersebut diterjemah ke pelbagai bahasa di seluruh dunia.
“NACSA juga baru-baru ini menganjurkan program My Cyber Hero yang bermatlamat untuk membangunkan bakat keselamatan siber dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah. Pelajar sekolah didedahkan dengan teknologi keselamatan siber dan dilibatkan dengan beberapa sesi bengkel sebelum kumpulan yang terpilih dipertandingkan di peringkat akhir semasa NACSA Cyber Security Summit 2024 yang dianjurkan pada 30 Julai lepas.
“My Cyber Hero akan dikembangkan lagi dengan melibatkan pelajar dari ASEAN sempena CYBER 2025 yang dijangka diadakan pada Julai 2025,” katanya.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff