AM

LIMA RUN SEMPENA LIMA 2025 DI IBU NEGARA AHAD INI

15/11/2024 09:26 PM

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) – Acara ’LIMA Run’ iaitu acara larian santai sempena penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA 2025), akan berlangsung di ibu kota Ahad ini. 

Penganjurnya Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) dalam kenyataan hari ini berkata sejak pameran LIMA kali pertama dianjurkan pada 1991, ini kali pertama acara larian santai ini diadakan.

“Acara ini akan berlangsung Ahad ini, yang merupakan hari bebas kenderaan di Kuala Lumpur, dan ia merupakan inisiatif unik bagi meningkatkan gaya hidup sihat dalam komuniti industri aeroangkasa dan maritim, bersama orang awam.

“Ia juga dapat mengeratkan hubungan para pemain industri dan juga masyarakat, yang secara tidak langsung mampu memberi ilmu pengetahuan yang lebih luas kepada orang-ramai berkenaan arus perdana industri aeroangkasa dan maritim di negara ini,” menurut kenyataan itu.

Bertemakan “Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan”, acara larian santai itu diadakan dalam dua kategori iaitu 5km dan 7km.

GEC merupakan penganjur LIMA 2025 bersama-sama Kementerian Pertahanan, dan bagi edisi ke-17, LIMA tahun depan dijadualkan berlangsung dari 20 hingga 24 Mei.

GEC berkata LIMA Run memberi peluang kepada setiap individu yang terlibat seperti daripada komuniti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), wakil-wakil kedutaan luar negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, bersama-sama memeriahkan acara larian ini.

“Larian akan bermula dan berakhir di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan menyusuri mercu tanda Kuala Lumpur iaitu Menara Berkembar Petronas, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka serta pemandangan ikonik ibu kota Malaysia yang memukau,” katanya.

LIMA Run merupakan satu aktiviti promosi LIMA 2025, yang akan mempamerkan teknologi aeroangkasa dan maritim yang meliputi sektor pertahanan dan sektor komersial, selain beberapa segmen baharu pada pameran maritim dan aeroangkasa dwi-tahunan itu.

GEC berkata segmen baharu yang akan diperkenalkan dalam LIMA 2025 termasuk angkasa lepas, inovasi aeroangkasa dan maritim, pelayaran dan beberapa segmen yang lain.

Dengan sokongan daripada beberapa pemain industri seperti Global Turbine Asia Sdn Bhd, Galaxy Aerospace Sdn Bhd dan G7 Global Aerospace Sdn Bhd, LIMA Run menunjukkan gambaran positif melalui sokongan yang diberikan oleh pempamer tempatan LIMA 2025.

“Kami juga turut berbesar hati untuk berterima kasih kepada MyCar, Ladang’57 oleh FGV, NCM, MILO, Brooks, Decathlon, Qube dan Curio Pack Sdn Bhd atas sokongan sebagai rakan penganjur bagi acara ini,” menurutnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan