KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan e-sukan Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) Malaysia yang menjuarai Kejohanan Dunia IESF 2024 di Riyadh, Arab Saudi hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid menyifatkan meskipun menghadapi perlawanan sengit daripada pasukan Filipina, ia tidak menggugat semangat juang pasukan negara untuk merangkul kejuaraan.
"Tahniah! Anda buat kami bangga sekali lagi (Well done, boys! You’ve made us proud once again). Saya doakan lebih banyak kejayaan buat skuad Malaysia," katanya.
Pada aksi grand final itu, skuad negara menumbangkan Filipina 2-0, menyaksikan mereka berjaya membawa pulang wang kemenangan berjumlah US$70,000 (RM 313,180).
Pasukan Malaysia dibarisi hampir sepenuhnya pemain Selangor Red Giants diketuai Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie), Ilman Zareef Zulkifli (Gojes) dan ‘Gold Laner’ pasukan JP Niners, Ealtond Rayner (Lolealz).
-- BERNAMA