KUALA KANGSAR, 16 Nov (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada 153 penerima bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-68 di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Abdul Halim.
Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.
Penerima pada hari ini adalah sebahagian daripada 213 penerima yang dikurniakan darjah kebesaran dan pingat bersempena hari keputeraan baginda yang disambut pada 1 Nov lepas.
Mendahului senarai penerima hari ini ialah Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Daerah Kinta Atikah Md Radzi yang juga antara 14 penerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM).
Penerima ACM lain antaranya Pegawai Memerintah Rejimen 7 Artileri Diraja Lt Kol Hasma Nizam Mohamad Hassan, Pegawai Memerintah Batalion Kesembilan Rejimen Renjer Diraja Lt Kol Hirwan Baharudin, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak Supt Mohd Sabri Bahazin dan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak Muhammad Fauzi Uzir Abd Wahab.
Sultan Nazrin turut mengurniakan Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) kepada 41 individu dan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) kepada 59 penerima, termasuk Ketua Jurukamera Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama TV) Ahmad Azmai Awang.
Sejumlah 29 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) antaranya atlet boling padang Aleena Ahmad Nawawi, atlet Muay Thai Nur Amisha Azril Rizal serta pemain sepak takraw Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin.
Antara lain yang menerima PJK ialah Penerbit Rancangan Jabatan Penyiaran (RTM) Negeri Perak Nor Ain Abu Bakar dan wartawan Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (Astro Awani) Abd Razak Mohd Ali.
Selain itu, seramai 10 individu menerima Pingat Lama Perkhidmatan (PLP).
Sementara itu, Ahmad Azmai ketika ditemui berkata beliau bangga kerana tahun ini hanya beliau yang terpilih dari Bernama untuk menerima pingat berkenaan.
“Ini (PPT) membuatkan saya lebih bersemangat nak bertugas kerana syarikat pandang apa yang kita buat. Terima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pengarang, Ketua Penyiaran (TV dan Radio) serta rakan-rakan seperjuangan,” katanya yang menerima pingat buat kali pertama setelah 24 tahun berkhidmat di Bernama.
Dalam pada itu, Nur Amisha berkata beliau merasakan segala pengorbanan selama ini dalam sukan Muay Thai demi negeri dan negara mendapat penghargaan tidak ternilai dengan pengurniaan pingat berkenaan, serta berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan.
“Sasaran utama saya pada 2025 untuk mendapat pingat emas Sukan SEA di Thailand dan semestinya emas di Kejohanan Muay Thai Dunia,” katanya.
Selain itu, Meor Mohamad Zulfikar berkata beliau berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat sehingga beliau layak menerima PJK, dan akan lebih bermotivasi untuk berlatih bagi menyertai kejohanan pada masa hadapan.
-- BERNAMA