AM

SK PULAU AMAN TERIMA BOT BAHARU, MUDAHKAN MURID DAN GURU BERULANG-ALIK

16/11/2024 09:21 PM

BATU KAWAN, 16 Nov (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Aman hari ini menerima sebuah bot baharu bagi memudahkan akses kepada pelajar dan guru untuk berulang-alik ke sekolah.

Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang Wan Sajiri Wan Hassan berkata bot bernilai RM218,097 itu bagi menggantikan bot lama yang rosak.

Sekolah berkenaan turut menerima sebuah treler bot bernilai RM30,000 menjadikan jumlah perolehan keseluruhan bagi pembelian bot berjumlah RM248,097.

“SK Pulau Aman ialah satu-satunya sekolah di Pulau Pinang yang menggunakan medium pengangkutan air untuk pergerakan guru dan pelajar. Bot sedia ada telah digunakan sejak 2014 sering rosak.

“Bagi pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Bahagian Perolehan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya pada Majlis Penyerahan Bot Baharu SK Pulau Aman di sini hari ini.

Pada majlis itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyerahkan replika kunci bot kepada Guru Besar SK Pulau Aman Rohayu Ibrahim selain penyerahan sumbangan kepada dua murid sekolah terbabit.

Wan Sajidi berkata sekolah terbabit mempunyai seramai 26 murid dan lapan guru namun enam murid dan tujuh guru berulang-alik setiap hari ke sekolah menaiki bot kerana tinggal di luar kawasan Pulau Aman.

Sementara itu, Fadhlina berkata isu berkaitan akses pendidikan dan logistik sememangnya sentiasa diberi penekanan oleh pihak kementerian dalam memastikan tiada sesiapa dipinggirkan.

Beliau berkata penyerahan bot pada hari ini jelas membuktikan KPM mengambil berat soal keselamatan guru dan murid terutama ketika perjalanan pergi dan balik dari Pulau Aman.

“Ini membuktikan komitmen besar kita dalam memastikan keselamatan murid dan guru, sudah tentu inisiatif (penyerahan bot) ini akan diperluas ke tempat-tempat lain dengan melihat kepada kapasiti, khususnya di kawasan pulau yang mempunyai sekolah dan guru kita,” katanya.

KPM melalui JPN juga sedang meneliti untuk menamakan SK Pualu Aman sebagai sekolah digital ke arah melahirkan lebih ramai murid fasih digital yang mampu menggunakan teknologi secara bersepadu, kreatif, inovatif, bertanggungjawab dan beretika.

"Dari segi kelengkapan dan juga penglibatan guru, murid dan pengupayaan digital, sekolah ini antara sekolah yang dilihat berpotensi menjadi sekolah digital sepenuhnya bagi peringkat negeri Pulau Pinang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan