LUNDU (Sarawak), 16 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang membuka Pusat Remaja KafeTEEN di Kuching dalam usaha meluaskan lagi ruang untuk golongan remaja di negeri itu terlibat dalam aktiviti yang bermanfaat.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata setakat ini di Sarawak, KafeTEEN sudah dibuka di Sri Aman dan Long Bedian yang berjaya menganjurkan banyak program yang mendapat sambutan remaja di kawasan berkenaan.
“Nampaknya kita perlu mewujudkan lebih banyak lagi (KafeTEEN) kerana ia memberi peluang kepada orang muda dan remaja untuk bergaul sesama mereka. Insya-Allah, di Kuching dahulu sebab kita mungkin ada pejabat baharu yang boleh dijadikan pusat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Kem Kasih Keluarga dan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2024 peringkat Sarawak di Pantai Pugu di sini hari ini.
Nancy berkata di bawah program KafeTEEN, remaja diberikan peluang untuk berekspresi, melibatkan diri dalam aktiviti sosial, belajar serta berkongsi pengetahuan termasuk mengasah bakat keusahawanan.
“Dengan ruang dan aktiviti yang disediakan di pusat ini, remaja tidak perlu keluar ke tempat lain yang mungkin menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa. Mereka juga dapat menggunakan masa terluang selepas sekolah untuk aktiviti yang produktif,” katanya.
KPWKM memulakan program KafeTEEN sejak 2017 dengan tujuan menyediakan platform kepada remaja untuk berbincang, berkongsi pengalaman serta mendapatkan maklumat berkaitan isu-isu remaja seperti kesihatan mental, hubungan sosial, pendidikan dan pembangunan diri.
KafeTEEN juga berfungsi sebagai ruang untuk mereka berinteraksi dengan pakar dan individu yang berpengalaman dalam bidang tertentu.
Mengenai Program Kem Kasih Keluarga, Nancy berkata ia bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat, memupuk semangat kekeluargaan dan memperkukuhkan ikatan antara keluarga dan komuniti.
-- BERNAMA