SUKAN

ACT WANITA: MALAYSIA TEWAS TIPIS 1-2 KEPADA JEPUN

16/11/2024 11:47 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Skuad hoki wanita kebangsaan mencatat kekalahan tipis 1-2 kepada Jepun pada pusingan round robin Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2024 di Stadium Hoki Rajgir, Bihar, India hari ini.

Malaysia memperoleh gol tunggal menerusi jaringan padang Nur Iman Adawiyah Mohd Suhami pada minit ke-26, manakala Jepun pula mengesahkan kemenangan melalui dua jaringan daripada Shiho Kobayakawa (minit ke-49) dan Miyu Hasegawa (minit ke-51).

Setakat ini, Malaysia masih berpeluang untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir apabila berada di kedudukan keempat dengan tiga mata, manakala China berada di tempat pertama (sembilan mata) diikuti India (sembilan mata) dan Jepun (lima mata). 

Korea Selatan pula (tangga kelima dengan satu mata) dan Thailand (tangga tercorot dengan satu mata) akan melakukan perhitungan pada pukul 5 petang ini. 

Hanya empat pasukan teratas layak ke perlawanan separuh akhir, manakala dua pasukan tercorot akan bertarung dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam. 

Sebelum ini Malaysia melakar kemenangan tunggal 2-1 ke atas Korea Selatan, manakala tewas dua kali masing-masing 0-4 kepada India dan 0-5 di tangan China. 

Malaysia akan menutup kempen di peringkat kumpulan menentang Thailand Ahad ini. 

Tahun lepas, Malaysia menamatkan kempen pada saingan ACT Wanita di tempat kelima dengan menumpaskan Thailand 1-0 di Ranchi, India.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan