KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan menziarahi Datin Safiah Aris, isteri kepada Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor dan bekas Setiausaha Kerajaan Johor Allahyarham Datuk Abdul Latiff Yusof yang meninggal dunia semalam.
Berangkat sama mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Tunku Besar Zabedah Almarhum Sultan Iskandar.
“Bacaan Yasin dan tahlil turut diadakan yang dipimpin oleh Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad,” menurut catatan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Abdul Latiff pada usia 71 tahun.
Abdul Latiff yang memiliki pengalaman 36 tahun dalam perkhidmatan awam Johor, memulakan kerjaya sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah di Pejabat Tanah Kota Tinggi pada 1975.
Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat, Pegawai Daerah Mersing, Pegawai Daerah Kluang, Pegawai Daerah Muar dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru.
-- BERNAMA