AM

ADUN PASIR BEDAMAR WOO KAH LEONG DIPILIH KETUA DAPSY 2024-2027

17/11/2024 04:18 PM

KLANG, 17 Nov (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Woo Kah Leong dipilih Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) bagi tempoh 2024-2027.

Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming berkata bagi jawatan Timbalan Ketua DAPSY disandang oleh ADUN Balakong Ong Chun Wei manakala empat kerusi Naib Ketua DAPSY Kebangsaan diisi oleh G Annun Nancy, Tang Szu Ching, S Linesh dan Raja Ahmad Iskandar Fareez.

“Kesemua calon menang tanpa bertanding. Sebanyak 86 Bahagian DAPSY sebulat suara memilih satu pasukan berbilang kaum terdiri daripada Melayu, Cina dan India…inilah semangat Malaysia MADANI.

“Bila semua kaum bergabung barulah negara akan diangkat martabatnya. Inilah semangat baharu dan landskap politik baharu yang akan kita bawa. Saya harap DAPSY dapat buang yang keruh dan ambil yang jernih,” katanya ketika berucap pada pemilihan Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY 2024-2027 hari ini.

Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan meminta barisan Majlis Eksekutif Kebangsaan DAPSY memperhebatkan sekolah demokrasi khususnya dalam pendidikan politik bagi memastikan golongan muda tidak mudah terjebak dengan politik toksik.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan ahli DAPSY agar mendekati akar umbi dan sentiasa turun padang bertemu rakyat serta memahami isu dihadapi golongan muda. 

“Saf pemimpin DAPSY wajib untuk mendekati hak dan kepentingan rakyat dan saya ingin mengarahkan supaya pemimpin DAPSY mempunyai tanggungjawab di semua institut pengajian tinggi negara,” katanya. 

Turut hadir pada konvensyen hari ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How.

Sementara itu, Nga menerusi kenyataan hari ini berharap DAPSY dapat lebih aktif dalam menyebarkan dasar dan pencapaian baik kerajaan antaranya ekonomi negara berkembang sebanyak 5.3 peratus dalam suku ketiga mengatasi China, Filipina, India dan Singapura, serta kedudukan Malaysia dalam 10 negara paling aman di dunia.

“Semua pencapaian ini membuktikan bahawa negara semakin berada di landasan yang betul. DAPSY seharusnya menjadi saluran kerajaan untuk menyampaikan perubahan positif ini kepada rakyat,” katanya yang juga Ketua Whip DAP.  

Sebagai menunjukkan komitmen dan kerjasama erat antara peringkat Pusat parti dan DAPSY, Nga berkata beliau akan mendermakan sebulan gaji Ahli Parlimen dan menyerahkan kepada Ketua DAPSY yang baharu itu. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan