DUNIA

CHAO PHRAYA TAWAN HATI PENGUNJUNG DENGAN PERTUNJUKAN CAHAYA SELAMA SEBULAN

17/11/2024 07:04 PM

BANGKOK, 17 Nov (Bernama) -- Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) telah melancarkan "VIJIT CHAO PHRAYA 2024," sebuah pameran cahaya dan kebudayaan yang menakjubkan di sepanjang Sungai Chao Phraya.

Acara ini bertujuan untuk menarik pelawat domestik dan antarabangsa pada musim akhir tahun, sekali gus merancakkan industri pelancongan dan menjana aktiviti ekonomi yang signifikan.

Gabenor TAT Thapanee Kiatphaibool berkata acara itu selaras dengan visi Thailand untuk menjadi antara lima destinasi menjana pendapatan pelancongan terbaik dunia, mempamerkan warisan budaya negara yang kaya melalui perkongsian awam-swasta yang kukuh.

"Kami menyasarkan untuk menjana sekurang-kurangnya 600 juta baht dalam hasil, meningkatkan pendapatan pelancongan tempatan, dan menggalakkan penginapan yang lebih lama di sepanjang Sungai Chao Phraya," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Pada petang Jumaat, Menteri Pelancongan dan Sukan Sorawong Thienthong merasmikan majlis Pencahayaan dan Penerangan acara itu, yang turut disertai oleh diplomat asing dan wakil media dalam pelayaran di sepanjang Sungai Chao Phraya.

Dari 16 Nov hingga 15 Dis, kawasan tepi sungai Bangkok akan menjadi hidup setiap petang dengan pameran cahaya memukau, pertunjukan laser, pemetaan unjuran, persembahan kebudayaan Thailand dan bunga api di tujuh mercu tanda ikonik di 14 lokasi utama.

Tujuh mercu tanda yang terlibat termasuk Jambatan Rama VIII, Institut Tentera Laut Diraja, Wat Arun, Wat Kalayanamitr, Bangunan Sunanthalai (Sekolah Rajini), Jambatan Memorial (Phra Phuttha Yodfa), dan sebuah bangunan terbengkalai di Soi Lhong 1919.

Persembahan percuma untuk dihadiri itu akan diadakan setiap hari dari 6 petang hingga 10 malam, memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati pertunjukan yang menakjubkan dari pelbagai lokasi tepi sungai.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan