AM

LANGKAH LINDUNGI BUDAYA SETEMPAT, INSENTIF PUSAT AUTISME TUMPUAN DEWAN RAKYAT HARI INI

18/11/2024 08:16 AM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini antara lain akan membincangkan mengenai langkah yang diambil kerajaan untuk memastikan nilai dan budaya setempat tidak terabai memandangkan sehingga kini tiada sebarang mekanisme kawalan kecerdasan buatan (AI) yang digubal.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen Malaysia, pertanyaan itu dikemukakan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) kepada  Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada sesi soal jawab.

Pada sesi sama, Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan perancangan kementerian bagi meningkatkan bilangan pusat autisme di seluruh negara dan sejauh mana bantuan serta insentif yang diberikan kepada pengusaha swasta dalam usaha itu.

Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) pula bertanyakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai langkah diambil kerajaan untuk melindungi industri tempatan daripada impak kapasiti berlebihan pembuatan China serta strategi untuk memastikan daya saing sektor perindustrian Malaysia tetap berdaya maju.

Turut bertanyakan soalan, Hassan Saad (PN-Baling) kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang ingin tahu strategi jangka panjang dan pendek kementerian dalam merancakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Usai sesi itu, persidangan diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa oleh menteri daripada setiap kementerian terlibat.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan