AM

SARAWAK LOKASI PENUTUP SHAPE YOUR FUTURE #FITFINANCES 2024 MTA, AKPK

18/11/2024 09:20 AM

KUCHING, 18 Nov (Bernama) -- Sarawak menjadi lokasi penutup bagi Program Shape Your Future #FitFinances 2024, satu program pendidikan pengurusan kewangan dan kepentingan perlindungan Takaful anjuran Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

MTA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan acara terakhir program itu untuk tahun ini telah diadakan di Pusat Latihan Kenegaraan Sampadi, Lundu dekat sini dengan penyertaan 150 pelajar daripada Kolej Vokasional di sekitar Sarawak.

Majlis penutupan program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Sarawak Anielia Siam serta turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir.

Program ini merupakan penganjuran kali ketiga, sejak dimulakan pada 2022 dan telah menjelajah ke semua wilayah di seluruh negara bermula di Terengganu, menelusuri Kelantan dan Pahang sebelum sampai ke Sarawak, dengan melibatkan keseluruhannya 565 pelajar Kolej Vokasional.

Sepanjang program dijalankan, peserta berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti menarik seperti simulasi kewangan, slot-slot penceramah, program pencarian harta karun dan aktiviti kecergasan. 

Di bawah program ini, pelajar dipantau secara konsisten bagi tempoh tertentu untuk memastikan mereka menerima bimbingan berterusan, sekali gus memberi impak jangka panjang kepada peserta dan juga masyarakat sekitar.

“Harapan kami adalah supaya para pelajar bukan sahaja menimba kemahiran pengurusan kewangan yang kukuh untuk diri sendiri, tetapi dapat dikongsi ilmu ini bersama rakan-rakan, ahli keluarga serta komuniti setempat pelajar,” kata Mohd Radzuan.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada kempen Takaful4All yang bertujuan memperluas pemahaman mengenai nilai dan kepentingan perlindungan Takaful, dianjurkan seiring dengan inisiatif Bulan Literasi Kewangan (FLM) oleh Financial Education Network (FEN), Bank Negara Malaysia (BNM). 

Sempena FLM ini juga, MTA telah menjalankan pelbagai program berkaitan literasi kewangan, terutamanya dalam menyantuni masyarakat di Sarawak, termasuk program Takaful Masuk Kampung yang telah dijalankan di Kampung Semariang Batu, di sini pada 10 Nov dan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. 

MTA turut berada di Vivacity Megamall bagi Karnival Celik Kewangan bersama BNM dari 15 hingga 17 Nov, dengan MTA telah menganjurkan Takaful4All Fun Run pada hari terakhir karnival itu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan