AM

SISTEM 'REAL-TIME MONITORING' PANTAU PEMANDU LORI - PAKAR

18/11/2024 12:12 PM

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Penggunaan teknologi sistem real-time monitoring atau pemantauan masa nyata boleh membantu memantau kelakuan pemandu kenderaan berat khususnya pemandu lori di jalan raya, sebagai langkah mengurangkan risiko kemalangan berpunca daripada faktor manusia.

Pakar bidang kejuteraan automotif dan pengangkutan Dr Mohd Azman Abas berkata faktor manusia seperti sikap, kelakuan dan keadaan fizikal pemandu adalah elemen kritikal dalam memastikan keselamatan di jalan raya justeru, amat penting melaksanakan teknologi yang boleh menjejak tingkah laku pemanduan secara masa nyata.

Beliau yang juga Pengarah di Automotive Development Centre (ADC), Universiti Teknologi Malaysia berkata sistem penjejakan GPS membolehkan pengurus fleet mendapatkan maklum balas segera mengenai prestasi pemanduan seperti kelajuan, corak brek dan amalan pemanduan keseluruhan.

“Dengan data ini, pengurus fleet boleh memberi amaran dengan segera jika pemandu memandu secara laju atau melakukan tingkah laku berbahaya.

“Beberapa sistem secara automatik juga dapat memberi pencelahan kepada kenderaan seperti mengehadkan kelajuan kenderaan secara automatik jika tingkah laku pemanduan tidak selamat dikesan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pendekatan proaktif itu dapat membantu mencegah kemalangan berbanding dengan hanya penguatkuasaan undang-undang atau menetapkan had laju yang lebih rendah dan berharap pemandu mematuhinya.

Baru-baru ini, beberapa nahas jalan raya melibatkan kenderaan berat khususnya lori kontena hingga menyebabkan kematian dilaporkan dan yang terkini, insiden treler kontena terbalik di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara berhampiran Simpang Renggam-Machap, Johor yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal.

Malah berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman pada Jumaat, lori kecil, treler dan lori kontena merupakan penyumbang tertinggi kes kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan bagi tempoh Januari hingga September lepas, dengan 168 kes direkodkan.

Mohd Azman berkata selain sikap pemandu, faktor keletihan turut menyumbang kepada punca kemalangan kerana memandu dalam tempoh yang panjang tanpa rehat mencukupi.

“Apabila mereka mengejar jadual perjalanan ketat atau cuba meningkatkan pendapatan dengan mengambil lebih banyak trip, mereka alami keletihan yang menyebabkan pemandu kurang fokus, reaksi menjadi lambat, dan mudah membuat kesilapan ketika berdepan situasi kecemasan di jalan raya.

“Ketiadaan kelindan juga boleh menyumbang kepada risiko kemalangan kerana tiada pembantu pemandu untuk memantau keadaan jalan, mengurangkan beban pemandu, serta membantu dalam proses memuat dan mengikat barang dengan betul,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah atau bahan terlarang boleh menjejaskan kemampuan kognitif dan koordinasi pemandu, menyebabkan mereka membuat keputusan  berisiko atau tidak sesuai dengan keadaan jalan raya.

Beliau mencadangkan supaya penguatkusaan dan pemantauan pihak berkuasa dipertingkatkan bukan sahaja terhadap pemandu dan kenderaan tetapi melibatkan fleet operators atau syarikat yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan kenderaan dan pengurusan pemandu.

“Tindakan tegas seperti menggantung operasi, mengenakan saman dan kompaun terhadap syarikat lori sekiranya kenderaan atau pemandu mereka terlibat dalam kemalangan adalah langkah sangat penting dan perlu dilaksanakan segera,” katanya.

Salain itu, katanya tapisan pemandu yang berkelayakan, pengalaman, bersikap baik, mempunyai lesen sah, mempunyai latihan pemanduan defensif dan pemahaman yang mendalam mengenai teknik pemanduan yang selamat juga penting memastikan pemanduan kenderaan lebih berhemah.

Mohd Azman berkata langkah tapisan dengan penglibatkan pihak berkuasa perlu merangkumi penilaian latar belakang calon pemandu, termasuk rekod kerja untuk memastikan mereka mempunyai rekod pemanduan yang bersih dan bertanggungjawab. 

“Selain menggantung tugas pemandu dengan rekod saman trafik buruk dan sering melanggar undang-undang trafik, pemandu dengan sejarah memandu tidak berhemah juga tidak sepatutnya dibenarkan terus memandu kenderaan berat.

“Rekod saman berulang kali boleh menjadi petunjuk pemandu tersebut berpotensi melakukan kesilapan sama yang boleh membawa kepada kemalangan lebih serius dan menjadi liabiliti kepada syarikat atau operator,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan