EKONOMI

BURSA MALAYSIA ANJUR PERHIMPUNAN AGUNG WFE DAN MESYUARAT TAHUNAN PADA 19-21 NOV

18/11/2024 01:02 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd akan menganjurkan Perhimpunan Agung Persekutuan Bursa Dunia (WFE) ke-63 dan Mesyuarat Tahunan dari 19-21 Nov, 2024 di Kuala Lumpur.

WFE ialah persatuan industri global untuk bursa dan firma penjelasan.

Persidangan utama WFE itu akan menghimpunkan pemimpin industri daripada bursa global, pihak berkuasa kawal selia dan institusi utama untuk perbincangan peringkat tinggi mengenai isu industri utama.

"Pada tahun ini, lebih 300 delegasi dan wakil 50 organisasi dari seluruh dunia akan menyertai perhimpunan ini, kebanyakannya secara bersemuka, dan selebihnya secara maya," kata pengawal selia bursa saham itu dalam satu kenyataan.

Presiden Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Muhamad Umar Swift berkata Bursa Malaysia bersedia untuk terus menyumbang kepada usaha WFE bagi membentuk dan membimbing kemajuan pasaran modal global, serta menggalakan kepelbagaian dan keterangkuman yang lebih meluas.

 “Kami juga teruja untuk berkongsi beberapa perkembangan terkini dari Malaysia, dan bagaimana rantau ASEAN bekerjasama dalam inisiatif yang akan meletakkan rantau ini sebagai pendahulu dalam kepimpinan kemampanan untuk memenuhi keperluan peserta pasaran yang semakin berkembang,” kata mereka dalam kenyataan yang sama.

Persidangan itu dianjurkan mengikut giliran antara wilayah setiap tahun, dengan Malta menjadi tuan rumah pada 2022, Bermuda pada 2023, dan kali terakhir Malaysia menganjurkan Perhimpunan Agung dan Mesyuarat Tahunan WFE ialah pada 1998.

Bursa itu berkata sudah tiba masanya untuk Malaysia menjadi tuan rumah WFE edisi tahun ini kerana negara bersiap sedia untuk mempengerusikan ASEAN pada 2025, sekali gus dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam memupuk ekonomi serantau yang lebih inklusif dan mampan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan