AM

TREND PENIPUAN MELIBATKAN EJEN RUMAH SEWA PALSU SEMAKIN MENINGKAT - FOMCA

18/11/2024 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) hari ini memberi amaran kepada orang ramai tentang trend penipuan melibatkan ejen rumah sewa palsu yang semakin meningkat. 

Setiausaha Agung FOMCA Dr T. Saravanan berkata penipu-penipu berkenaan menyamar sebagai ejen untuk menipu penyewa berpotensi termasuk pelajar asing, dengan menunjukkan hartanah untuk disewa, mengambil wang pendahuluan dan kemudian menghilangkan diri.

“Ramai pelajar asing menjadi mangsa penipuan ini kerana mereka tidak biasa dengan amalan penyewaan rumah tempatan dan kekurangan akses kepada maklumat yang betul. Penipu-penipu ini sering menyamar sebagai ejen profesional, menggunakan kad perniagaan palsu, iklan dalam talian dan profil media sosial untuk kelihatan meyakinkan.

“Mereka mengatur pertemuan untuk melihat hartanah, selalunya unit yang mereka tidak mempunyai akses yang sah, mewujudkan rasa mendesak dengan mendakwa terdapat permintaan tinggi terhadap harta itu. Mangsa kemudian didesak untuk segera membuat bayaran pendahuluan bagi mendapatkan unit berkenaan, tetapi ejen-ejen ini akan menghilangkan diri selepas menerima wang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menasihatkan pengguna supaya mengelak daripada membuat pembayaran ke akaun bank peribadi, memastikan semua pembayaran dilakukan melalui akaun rasmi agensi, dan hanya berurusan dengan ejen berdaftar serta bertauliah.

“Dokumentasi juga penting, sentiasa pastikan anda mendapatkan perjanjian penyewaan yang dimeterai dengan betul serta resit rasmi untuk semua pembayaran. Pelajar asing dinasihatkan untuk mendapatkan panduan daripada institusi pendidikan atau rakan sebaya mereka sebelum meneruskan sebarang urusan penyewaan bagi mengelak daripada ditipu,” katanya.

Saravanan berkata mangsa penipuan perlu membuat laporan polis dan juga melaporkan penipuan berkenaan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian hotline 997.

“FOMCA menggesa pihak berkuasa kerajaan dan institusi pendidikan untuk meningkatkan usaha dalam mendidik orang ramai serta pelajar asing tentang penipuan ini. Kempen kesedaran dan kerjasama antara universiti, agensi perumahan dan organisasi pengguna adalah penting dalam mewujudkan persekitaran penyewaan yang lebih selamat.

“Pengguna yang memerlukan nasihat atau ingin melaporkan penipuan boleh menghubungi FOMCA. FOMCA sentiasa komited untuk memperjuangkan hak pengguna dan melindungi orang ramai daripada aktiviti penipuan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan