KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kementerian Digital sedang berbincang dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk bekerjasama merangka dasar baharu bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerima guna pendigitalan dalam perniagaan mereka.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata perbincangan tersebut diadakan bersama KUSKOP dan pihak berkepentingan dua minggu lepas.
“Kita semua sedia maklum bahawa PMKS berada di bawah bidang kuasa KUSKOP dan kami sedang berbincang secara khusus untuk memastikan mereka dapat mengadaptasi (menerima guna) teknologi dalam perniagaan mereka.
“Kedua, bagaimana kita dapat mewujudkan suasana yang mampu menjamin kos yang efektif untuk perniagaan tersebut,” katanya pada sidang media selepas pelancaran “Kajian Impak Kecerdasan Buatan (AI), Digital dan Ekonomi Hijau ke atas Tenaga Kerja Malaysia” di sini, hari ini.
Gobind berkata selain itu beliau juga telah mengemukakan cadangan dan pandangan kepada KUSKOP mengenai dasar yang bakal dirangka dan akan membawa perkara tersebut ke peringkat selanjutnya.
“Saya berharap perbincangan ini dapat dimuktamadkan dalam bulan ini dan menjelang akhir tahun kita dapat membuat keputusan mengenai langkah seterusnya dari sudut polisi (dasar) dan sebagainya,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.
-- BERNAMA