KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Pelbagai aktiviti disediakan pada Program Dua Tahun Kerajaan MADANI dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari Jumaat hingga Ahad ini.
Pengarah Seksyen Pengurusan Moden dan Teknologi, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Saliza Saari berkata selain pameran perkhidmatan daripada kementerian-kementerian, terdapat juga reruai usahawan serta Jualan MADANI.
Beliau berkata turut ditawarkan kepada pengunjung adalah diskaun 60 peratus bayaran saman trafik oleh Polis Diraja Malaysia, karnival kerjaya serta diskaun tiket kemasukan ke Muzium Negara.
“Pada program ini terdapat juga beberapa forum yang kita panggil konvensyen reformasi karenah birokrasi,” katanya ketika menjadi tetamu Program Dua Tahun Kerajaan MADANI & Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024, terbitan KLFM, sebuah stesen radio milik RTM, hari ini.
Beliau berkata pada program itu juga, pekeliling Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) yang bertujuan memperkenalkan langkah-langkah baharu bagi mempercepatkan pelaksanaan reformasi dalam perkhidmatan awam akan dilancarkan.
Mengenai program di Saliza berkata ia diadakan bertujuan menguar-uarkan pencapaian dan kejayaan Kerajaan MADANI.
Program Dua Tahun Kerajaan MADANI dijangka dihadiri oleh seluruh jentera pentadbiran negara termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri selain ketua-ketua jabatan serta agensi.
Sementara itu hantaran di Facebook Malaysia MADANI memaklumkan program yang akan berlangsung empat hari lagi itu turut akan menampilkan pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pertukaran topi keledar.
“Dengan tema “MADANI di hati, rakyat disantuni”, program ini memberi ruang kepada rakyat untuk terlibat secara langsung dalam pelbagai inisiatif dan aktiviti selain menjadi platform untuk menterjemah manfaat hasil daripada inisiatif yang dirangka Kerajaan MADANI untuk rakyat.
“Orang ramai juga boleh mengambil bahagian dalam program ini dengan memberikan maklum balas mengenai perkhidmatan dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi tujuan penambahbaikan,” menurut hantaran itu.
Program berkenaan bermula dari 9 pagi hingga 6 petang.
-- BERNAMA