KOTA KINABALU, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sabah disaran memiliki sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti projek pelaburan negeri dalam usaha memperkasa ekonomi 'Negeri di Bawah Bayu' tersebut.
Datuk Ewon Benedick (PH-Kadamaian) berkata pemilikan berkenaan boleh dibuat menerusi syarikat berkaitan kerajaan negeri selain akan mewujudkan rasa memiliki dengan matlamat menjana hasil yang lebih besar, sesuai dengan hala tuju kerajaan negeri.
“Saya juga mahu merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Sabah yang mensyaratkan pemilikan ekuiti pelaburan kerajaan negeri kepada pelaburan asing di sini termasuk tidak lagi memberikan pemilikan tanah, tetapi hanya pajakan kepada pelabur,” katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2025) 2024 (Belanjawan Sabah 2025).
Ewon berkata kerajaan negeri juga perlu memberi tumpuan besar kepada proses pengambilalihan Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) susulan penyerahan kuasa kawal selia tenaga dan gas kepada Sabah pada Januari lepas.
“Dengan keupayaan penjanaan hasil yang besar, saya percaya kerajaan Sabah boleh merancang bagaimana untuk mengambil alih sepenuhnya saham yang dimiliki oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam Sabah Electricity.
“Ia seterusnya memperkasa syarikat itu dengan loji kuasa tenaga yang dimiliki sendiri, bukan hanya menjadi pembeli kepada tenaga yang dikeluarkan oleh penjana tenaga bebas (IPP),” katanya.
Sabah Electricity adalah sebuah syarikat utiliti kuasa elektrik di Sabah dan Labuan dengan 80 peratus pegangan dimiliki TNB manakala baki 20 peratus dimiliki kerajaan negeri.
-- BERNAMA