KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) – Penutupan pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di luar negara tidak menjejaskan usaha menangani kempen anti minyak sawit dan persepsi negatif terhadap komoditi tersebut di pasaran antarabangsa, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.
Beliau berkata kementerian telah mengambil pendekatan strategik termasuklah memfokuskan kepada usaha promosi dan hubungan diplomatik dengan platform antarabangsa, selain menjalin kerjasama dengan rakan strategik dan organisasi bukan kerajaan untuk mempromosikan minyak sawit.
“Meskipun pejabat MPOB Brussel untuk pasaran Kesatuan Eropah ditutup sementara, masih ada pejabat Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di luar negara dan pejabat serantau untuk menangani isu berkaitan sawit,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.
Chan berkata penutupan pejabat MPOB adalah selari dengan usaha rasionalisasi kerajaan dalam menangani pertindihan fungsi agensi kerajaan.
Lima pejabat MPOB yang terletak di Brussel, Tehran, Kaherah, Washington DC dan Karachi telah ditutup manakala pejabat di Shanghai masih beroperasi.
“Kajian mendalam telah dilakukan terhadap keperluan operasi dan keberkesanan (pejabat agensi) dalam mempromosikan sawit dan ini adalah langkah yang telah diambil,” katanya.
Sementara itu, katanya sejumlah RM15 juta telah diperuntukkan untuk mempromosikan sawit iaitu RM5.625 juta adalah untuk kempen berkaitan maklumat kelapa sawit untuk pengguna di Eropah dan RM4.3 juta untuk urusan melobi.
Mengenai galakan terhadap penggunaan teknologi, mekanisasi dan automasi, beliau berkata kementerian mahu lebih ramai penyertaan pekerja tempatan dalam usaha untuk meremajakan sektor agrikomoditi.
“Antara insentif yang diberikan ialah pengecualian cukai melalui Elaun Modal Dipercepat (ASA).
“Seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan mahu pemain industri menerima manfaat ASA atas pelaburan aset tetap dan penambahbaikan yang telah dilaksanakan seperti teknologi perladangan digital pintar, automasi, mekanisasi dan Internet of Things,” katanya.
-- BERNAMA