SHAH ALAM, 18 Nov (Bernama) -- Kerajaan Selangor menjangka memuktamadkan keputusan mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) pada akhir tahun ini atau awal 2025.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata dengan mengguna pakai akta tersebut ia dijangka mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal yang kini ditanggung oleh kerajaan negeri menerusi KDEB Waste Management (KDEBWM).
Beliau berkata ketika ini kos operasi yang ditampung oleh KDEBWM bagi memungut satu tan metrik sampah dianggarkan RM7 hingga RM8 berbanding nilai sebenar pada RM14 hingga RM15.
“KDEBWM menanggung kos tambahan RM7, yang menyebabkan syarikat ini mengalami kitaran kewangan ketat dan menyukarkan pelaburan untuk membeli lori, peralatan baharu dan sebagainya.
“Dengan Akta 672, jurang ini akan diisi dengan peruntukan kerajaan Persekutuan dan kita sedia berbincang untuk tujuan berkenaan. Harap, pada akhir tahun ini atau awal 2025 kita selesai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2024 di sini hari ini.
Media semalam melaporkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima nota hasrat daripada kerajaan Selangor bagi meratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
Menterinya Nga Kor Ming memberitahu perbincangan bagi penerimaan Akta 672 itu oleh kerajaan Selangor sedang berjalan dan perkembangannya akan dimaklumkan.
Dalam pada itu, Amirudin berkata dengan menandatangani akta tersebut Selangor dijangka menyelesaikan masalah kos serta kewujudan tapak pelupusan sampah haram di negeri itu.
Mengulas mengenai SES 2024, beliau berkata sidang kemuncak itu yang julung kali diadakan pada 27 Nov hingga 1 Dis di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), akan mengumpulkan beberapa program pendidikan anjuran agensi kerajaan dan pelbagai pihak.
Beliau berkata dianggarkan 150,000 pengunjung akan hadir ke acara itu antaranya merangkumi Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024, Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor 2024, Kemahiran Terkini Selangor dan Karnival EDU-STEM Selangor.
Beliau berkata penganjuran SES 2024 juga adalah untuk memperkasakan agenda pendidikan dan penyediaan modal insan berkemahiran dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Di samping itu, ia juga dapat meningkatkan kerjasama pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan serta industri dan penyedia teknologi dari dalam dan luar negara,” katanya.
-- BERNAMA