AM

PLATFORM MYMAHIR BAKAL JADI GARIS PANDUAN LATIHAN KEMAHIRAN TENAGA KERJA - SIM

18/11/2024 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov( Bernama) -- Platform MyMAHIR, yang dibangunkan untuk melengkapkan bakat Malaysia dengan kemahiran masa depan bakal menjadi garis panduan berkaitan arah aliran industri, peranan kerja, kemahiran yang diperlukan, laluan kerjaya, dan program latihan tersedia dalam pelbagai sektor. 

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata dengan mengintegrasikan hasil Kajian Impak Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) terhadap kecerdasan buatan (Al), digital dan ekonomi hijau, platform berkenaan berfungsi sebagai sumber berpusat, merangkap taksonomi kemahiran bagi membantu pihak berkepentingan menyediakan tenaga kerja untuk perubahan akan datang.

“Kita akan melancarkan portal MyMAHIR yang berkonsepkan penyediaan latihan kemahiran baharu dan kemudiannya diseragamkan dengan portal MyFuture Job.

“MyMAHIR menjurus ke arah isu-isu berkaitan dengan analisis kecenderungan dan portal untuk latihan kemahiran, manakala MyFuture Job memberikan maklumat berkaitan peluang pekerjaan yang akan dipadankan mengikut kemahiran yang dipelajari,” katanya selepas pelancaran Kajian Impak Kecerdasan Buatan, Digital dan Ekonomi Hijau Ke Atas Tenaga Kerja Malaysia di sini hari ini.  

Platform MyMAHIR dibangunkan oleh TalentCorp dengan memberi fokus utama mengenal pasti kemahiran kritikal dan mencipta bersama program latihan yang disesuaikan.

Sim berkata kajian impak berkenaan akan mempersiapkan tenaga kerja Malaysia bagi menghadapi masa depan dengan menilai sejauh mana Al, digitalisasi dan ekonomi hijau mempengaruhi pelbagai sektor ekonomi. 

Beliau berkata dengan mandat daripada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sebagai pemikir strategik kementerian, TalentCorp menyokong pembangunan dasar dan perancangan jangka panjang untuk mengekalkan daya saing tenaga kerja Malaysia. 

Fasa pertama kajian berkenaan memberi fokus kepada 10 sektor utama antaranya aeroangkasa, kimia, elektrik dan elektronik serta tenaga dan kuasa.

Sektor-sektor berkenaan menyumbang sekitar 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar buat negara iaitu kira-kira RM933 bilion, menggaji 31 peratus tenaga kerja mahir dan separa mahir yang dipilih berdasarkan kepentingan ekonomi dan potensi untuk inovasi serta kemampanan.

“Kajian ini berfungsi sebagai peta jalan penting untuk melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran yang kekal kukuh hingga masa hadapan, bagi memastikan ketahanan dan kebolehsuaian dalam menghadapi perubahan pesat,” katanya.

Sim berkata fasa pertama kajian berkenaan juga disusun dalam lima peringkat utama bermula dengan menyatukan peranan dan kemahiran 10 sektor utama itu bagi mengenal pasti jurang yang wujud, diikuti dengan menilai impak Al, digitalisasi, dan ekonomi hijau terhadap peranan-peranan itu.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan