AM

97 PERATUS SHOPEE AFFILIATE SOKONG JENAMA MALAYSIA, PACU PERTUMBUHAN PERNIAGAAN TEMPATAN

18/11/2024 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Shopee Affiliate telah menunjukkan sokongan yang teguh terhadap jenama Malaysia, dengan 97 peratus daripada ahli affiliate menyatakan minat yang mendalam untuk menyokong penjual tempatan.

Pandangan berkenaan diperoleh daripada lebih 180 affiliate yang mengambil bahagian dalam satu tinjauan baru-baru ini yang dijalankan oleh Shopee antara 1 hingga 8 Nov lepas.

“Dengan mempromosikan jenama Malaysia, ahli affiliate juga menyokong pertumbuhan perniagaan kecil dan menyumbang kepada ekonomi tempatan, sekali gus meningkatkan daya tarikan kerjasama ahli affiliate dan penjual tempatan ini,” menurut Shopee dalam satu kenyataan hari ini.

Tinjauan berkenaan mendapati lebih 85 peratus ahli Shopee Affiliate menyatakan bahawa mereka lebih kerap mempromosikan jenama tempatan berbanding jenama antarabangsa, dengan mendedikasikan sebahagian besar usaha mereka untuk menyokong produk tempatan.

Selain itu, tinjauan berkenaan turut menunjukkan majoriti ahli Shopee Affiliate menyatakan bahawa penglibatan yang lebih tinggi iaitu 34 peratus dan akses kepada penonton yang lebih luas sebanyak 24 peratus adalah faktor utama kejayaan mereka dalam memacu jualan untuk penjual Shopee.

“Kerjasama yang saling menguntungkan ini membolehkan penjual tempatan memanfaatkan hubungan kukuh ahli affiliate dengan pengikut mereka seterusnya meningkatkan penglibatan dan memperluas kecapaian pelanggan. Pendekatan ini meningkatkan keterlihatan jenama tempatan di samping membina kepercayaan dan kredibiliti untuk penjual tempatan,” menurut kenyataan itu.

Jenama pakaian sukan tempatan, ELGINI Malaysia, menyaksikan peningkatan jualan lebih daripada 115 peratus semasa Shopee 11.11 Jualan Hebat, sebahagiannya sumbangan ahli Shopee Affiliate, kata pengasas ELGINI Lim Chong Soo. 

“Kami telah bekerjasama dengan ahli Shopee Affiliate untuk mempromosikan produk kami sejak September 2024, dan amat berpuas hati dengan sumbangan mereka terhadap kejayaan 11.11 kami. Sokongan mereka sangat berharga dalam membina kredibiliti kami dan memperluas kecapaian pelanggan kami,” kata Lim.

Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data di Shopee Malaysia Tan Ming Kit menekankan peranan penting dimainkan oleh ahli Shopee Affiliate dalam menyokong perniagaan tempatan.

“Ahli Shopee Affiliate kami terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan perniagaan tempatan dengan mempromosikan jenama tempatan secara konsisten kepada pengguna seluruh negara. Kami tetap komited untuk memperkasakan perniagaan tempatan dan ahli affiliate dengan menyediakan alat dan sumber perniagaan penting agar mereka dapat manfaat sepenuhnya dalam ekosistem e-dagang ini,” kata Tan.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan