AM

TIADA TEMPOH MASA UNTUK SIAPKAN KAJIAN PENEMUAN DUA PESAWAT PERANG DUNIA II - ABDUL KARIM

19/11/2024 05:48 PM

KUCHING, 19 Nov (Bernama) -- Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak tidak menetapkan tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk Jabatan Muzium menyelesaikan penyelidikannya mengenai penemuan dua pesawat Perang Dunia II (WWII) di bahagian utara negeri awal tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata proses penyelidikan itu pastinya mengambil masa kerana mereka yang terlibat perlu mengesahkan kesahihan maklumat yang diperoleh mengenai pesawat berkenaan.

“Kita masih menunggu laporan daripada pihak muzium. Kedua-dua pesawat berada di bahagian utara negeri, dan satu daripadanya masih agak utuh. Daripada apa yang saya kumpul, masyarakat tempatan sekitar kawasan itu mahu supaya pesawat itu dikekalkan di lokasi semasa, kerana ia boleh berfungsi sebagai produk pelancongan yang berpotensi untuk mereka,” katanya.

Bercakap selepas menggulung perbahasan Belanjawan Sarawak 2025 di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini, beliau berkata adalah penting untuk mengimbangi kepentingan tempatan dengan nilai sejarah dan pendidikan yang boleh dibawa oleh pesawat jika dimasukkan dalam pameran muzium.

"Dari perspektif muzium, ia juga bermanfaat untuk mempamerkan peninggalan ini, kerana ia mewakili artifak dari Perang Dunia Kedua," katanya.

Berdasarkan laporan media, satu daripada pesawat itu dikenal pasti sebagai pesawat pejuang Mitsubishi A6M milik Tentera Udara Jepun yang digelar 'Zero' semasa Perang Dunia Kedua, manakala sebuah lagi pesawat Amerika yang belum dikenal pasti modelnya, dan kedua-dua pesawat itu ditemukan di sebuah perkampungan sempadan di Lawas, daerah paling utara Sarawak.

“Sebuah daripada pesawat itu nampaknya telah mendarat dan bukannya terhempas, memandangkan keadaannya yang agak utuh. Jika ia ditembak jatuh, ia akan musnah. Ini menunjukkan pesawat itu mungkin berjaya mendarat,” kata Abdul Karim.

Walaupun terdapat bukti awal menunjukkan asal usul pesawat itu, beliau berkata belum ada sebarang komunikasi dibuat dengan kedutaan negara terbabit mengenainya.

“Kami mahu mengelak daripada tergesa-gesa, dan memastikan semua butiran adalah betul sebelum berkongsi penemuan dengan negara terbabit. Penghormatan mesti diberikan kepada juruterbang yang mungkin terkorban dan memori berkaitan mereka perlu diberi penghormatan sewajarnya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau telah memberi tempoh masa kepada Jabatan Muzium untuk mereka menyelesaikan penyelidikan, Abdul Karim berkata tiada tempoh khusus ditetapkan, tetapi beliau menggesa supaya jabatan itu mempercepatkan prosesnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan