AM

KKM BAKAL TAWAR KONTRAK BAHARU PASTIKAN BEKALAN UBAT CUKUP TERUTAMA INSULIN MANUSIA

19/11/2024 09:11 PM

PUTRAJAYA, 19 Nov (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementerian bersedia menawarkan kontrak tambahan untuk perolehan farmaseutikal pada awal tahun depan bagi memastikan kestabilan bekalan ubat di negara ini, khususnya insulin manusia.

Beliau berkata langkah itu susulan gangguan bekalan insulin manusia pada Ogos lepas yang mendorong kementerian mengambil tindakan segera bagi memastikan pesakit mendapat akses kepada ubat itu.

“Kami sudah ada nama beberapa syarikat dalam perancangan dan kini di peringkat akhir untuk pemberian lesen. Ia syarikat biasa yang sudah kenali ramai dan mereka komited untuk melabur dalam membangunkan insulin manusia,” katanya kepada pemberita selepas Minggu Kesedaran Antimikrod Sedunia 2024.

Dzulkefly memberi jaminan bahawa Malaysia tidak pernah mengalami kekurangan insulin manusia  walaupun semasa gangguan pada Ogos.

Terdahulu, beliau memberitahu Dewan Rakyat kementerian tidak lagi akan mengizinkan kontrak perolehan farmaseutikal hanya kepada satu syarikat bagi memastikan bekalan ubat yang selamat dan stabil di negara ini.

“Pengalaman yang berlaku pada Ogos lepas memberikan banyak pengajaran penting kepada kita, khususnya apabila timbul situasi kekurangan bekalan human insulin.

“Walaupun tiada kes yang terbukti pesakit pulang tanpa bekalan, situasi ini memerlukan langkah pantas bagi memastikan bekalan tetap mencukupi. Langkah awal yang diambil termasuk memindahkan bekalan antara klinik berdekatan.

“Sebagai contoh, jika klinik A kehabisan bekalan, ia boleh mendapatkan stok daripada klinik B, C, atau D. Pendekatan ini memastikan kesinambungan bekalan kepada pesakit tanpa gangguan. Keupayaan untuk bertindak pantas ini mengelakkan sebarang impak besar kepada penjagaan pesakit,” katanya.

Namun, Dzulkefly berkata pengalaman ini juga memberi amaran tentang risiko kebergantungan kepada satu sumber sahaja.

“Dalam situasi ini, pembekal tunggal Biocon menghadapi kegagalan membekalkan insulin. Keadaan ini hampir mencetuskan krisis bekalan yang memerlukan usaha segera untuk mencari sumber alternatif.

“Sebagai langkah ke hadapan, pendekatan yang lebih mampan adalah memastikan kepelbagaian sumber bekalan bagi ubat-ubatan penting seperti insulin manusia. Ini bermakna kontrak atau tender tidak lagi diberikan kepada satu pembekal sahaja.

“Dengan langkah ini, kita dapat mengelakkan situasi serupa dan memastikan kesihatan rakyat terus terpelihara tanpa risiko kekurangan bekalan,” katanya.

Pada awal November tahun ini Dzulkefly menyentuh mengenai inisiatif transformasi iaitu penjagaan pesakit kepada penjagaan kesihatan.

Beliau mengumumkan peruntukan RM87.1 juta di bawah Bajet 2025 untuk pembelian ubat SGLT2 yang akan memanfaatkan 280,231 pesakit diabetes.

“Ubat ini sangat berkesan, mengurangkan komplikasi seperti masalah kardiovaskular dan buah pinggang, yang boleh menelan kos untuk rawatan. Ia juga membantu penurunan berat badan, faktor kritikal dalam menguruskan diabetes. Dengan memelihara fungsi buah pinggang dan mengurangkan risiko kegagalan buah pinggang ... kami mengutamakan keberkesanan jangka panjang untuk pesakit,” katanya.

Dzulkefly berkata kementerian berusaha untuk meneroka analog dan pilihan terapeutik termaju yang lain bagi menambah baik rawatan diabetes sambil mengekalkan kos efektif. 

“Usaha ini mencerminkan dedikasi kami untuk mengukuhkan kemampanan dan keberkesanan sistem kesihatan negara, memastikan akses kepada ubat-ubatan penting sambil mengurangkan beban penyakit kronik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan