KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Penyertaan pelbagai jenama global dan negara luar di Smart Nation Expo 2024 membuktikan keyakinan mereka terhadap Malaysia sebagai pusat pelaburan digital utama, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata sebanyak 21,000 peserta menyertai ekspo berkenaan yang memasuki edisi ketiga tahun ini dengan lebih 600 syarikat pempamer dari 23 negara, melibatkan tujuh pavilion.
"Ini menunjukkan keyakinan yang kita lihat dari negara serantau dan juga peringkat global terhadap Malaysia sebagai tempat mereka meletakkan pelaburan dan mereka boleh bekerjasama dengan syarikat tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Smart Nation Expo 2024, disini, hari ini.
Gobind berkata tema ekspo berkenaan iaitu “Smart Innovations for Digital Transformation” juga selari dengan inisiatif digital kerajaan yang memupuk ekosistem menggalakkan inovasi, pelaburan, dan kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan.
Justeru, katanya, kerajaan mengalu-alukan kolaborasi dan pandangan daripada pemain industri untuk membantu membentuk industri digital negara dan berharap sebarang idea dapat diterjemahkan ke dalam bentuk kerjasama yang akan memberi manfaat kepada negara secara keseluruhannya.
“Pada masa yang sama, kita ingin memastikan bahawa kita dapat menggalakkan lebih banyak inovasi berbanding melaksanakan mekanisme yang menyukarkan industri.
"Inilah sebabnya mengapa acara seperti ini penting. Kita berada di sini hari ini untuk berinteraksi dengan industri dan memahami cabaran mereka,” katanya.
Kerajaan, katanya, komited untuk membina ekosistem yang akan memberi manfaat kepada semua pihak termasuk membangunkan Dasar Digital Perusahaan Kecil dan Sederhana yang dijangka dimuktamadkan hujung tahun ini.
Selain itu, Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) juga akan dilancarkan di Kuala Lumpur pada 12 Dis depan yang antara lainnya berfungsi membantu kerajaan merangka struktur dasar berkaitan sektor berkenaan di negara ini.
"Kementerian Digital menyasar meningkatkan usaha ini untuk membina ekosistem yang menyediakan Malaysia dengan struktur yang membolehkan kita semua memanfaatkan teknologi ketika kita mara hadapan.
"Jadi, ini adalah salah satu acara yang melengkapkan inisiatif kita,” katanya.
Smart Nation Expo 2024 yang diadakan bersama EVM Asia 2024 dan AgriX 2024, membuka tirai hari ini sehingga 21 Nov.
EVM Asia 2024, pameran kenderaan elektrik dan e-mobiliti utama di rantau ini, menghimpunkan peneraju industri untuk meneroka inovasi dalam kenderaan elektrik, infrastruktur pengecasan dan teknologi bateri, sejajar dengan matlamat pengangkutan mampan Malaysia.
Manakala AgriX 2024 pula menunjukkan cara penyelesaian digital merevolusikan pertanian, mempamerkan alatan dan teknologi termaju yang meningkatkan amalan pertanian dan mengukuhkan jaminan makanan serantau.
Pengerusi ekspo tersebut, Tan Sri Dr Mohd Nasir Mohd Ashraf berkata praktikal acara menumpukan untuk mendapatkan hasil perniagaan yang kukuh.
"Kami telah mewujudkan ruang ini untuk memudahkan bukan sahaja perbincangan, tetapi juga usaha untuk menjalin perkongsian,” kata Mohd Nasir dalam ucapannya pada majlis tersebut.
Antara negara utama yang menampilkan teknologi di pavilion antarabangsa antara lainnya adalah China, Taiwan, Singapura, Hungary dan Korea.
Pavilion ini mempamerkan kemajuan terkini dalam teknologi 5G, bandar pintar, Industri 4.0 dan teknologi baru muncul.
-- BERNAMA