PETALING JAYA, 20 Nov (Bernama) -- Sepuluh peserta projek cili fertigasi di bawah Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)-Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) teruja dan bersyukur apabila hasil pertama tanaman yang diusahakan Ogos lepas sudah mula boleh dituai sejak awal bulan ini melibatkan lebih 550 kilogram (kg).
Menerusi program usaha sama Kementerian Ekonomi dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu, peserta yang terdiri daripada golongan B40 berpeluang melaksanakan projek di kawasan rintis Tenaga Nasional Berhad (TNB), Pelangi Damansara, serta bukan sahaja menerima elaun sebanyak RM2,100 sebulan malah bakal menikmati hasil jualan terus dari ladang pada harga ladang RM10 sekilogram.
Berkongsi pengalaman menjadi petani pada usia emas, Rosnah Bidin, 63, berkata dia tidak menyangka dapat menyumbang tenaga bercucuk tanam di tanah seluas 4.047 hektar dengan jumlah 2,000 polibeg yang meraih hasil cili hingga 50 kg.
“Tidak pernah terduga pada usia sebegini kita dapat bantuan daripada PKPS dan Kementerian Ekonomi. Kalau ada apa-apa masalah dan apabila tanya apa pun, semua mereka jawab dengan baik serta bagi nasihat tentang cara penjagaan pokok dan bermacam lagi,” katanya kepada pemberita pada sesi temu bual bersama peserta IPR-INTAN tanaman cili fertigasi di sini baru-baru ini.
S.Padnmanagan, 56, pula berkata sebelum wujudnya program IPR-INTAN, dia hanya menjalankan tanaman di tepi parit atau sungai dalam skala kecil, justeru agak teruja apabila melihat hasil diusahakan menerusi projek itu memberi pulangan berlipat kali ganda.
“Saya lihat Kementerian Ekonomi dan PKPS berusaha untuk tambah pendapatan peserta, khususnya warga berpendapatan rendah.
“Sebelum ini tidak ada panduan, kita pun tidak tahu macam mana nak bertani, hanya letak benih dan apa yang keluar sahaja, tetapi program ini lebih profesional (dijalankan) dalam bandar Petaling Jaya... kita menjayakan program ini bersama-sama PKPS,” katanya sambil menambah jumlah cili dituai telah mencecah hampir 200 kg.
Wan Norsaiza Wan Hasnan, 51, berkata walaupun berdepan cabaran dalam menjayakan projek IPR-INTAN itu, dia tetap bersemangat bangun pagi untuk ke kebun setiap hari bagi mengutip hasil tanaman.
“Ini kali pertama saya sertai projek seumpama ini. Cabarannya banyak... bayangkan 25 tahun pegang pen dan papan kekunci kerana sebelum ini saya bekerja sebagai pembantu peribadi, tiba-tiba ‘main’ dengan tanah... jadi sekarang saya kenal pokok yang sakit, sihat dan pelbagai perkara yang tak pernah dilakukan,” katanya yang berpandangan bahawa golongan belia seawal 20 tahun digalak menyertai program itu atas faktor tenaga dan kreativiti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata program berkenaan selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu tanaman komersial dalam bandar dilaksanakan.
“Sebelum ini kita lihat, pertanian bandar dijalankan di kawasan jauh dari penempatan, penduduk dan kawasan yang lebih mudah diuruskan, tetapi PKPS... kami diberi cabaran serta tanggungjawab agak besar dan berat iaitu kita diminta melaksanakan program di bawah rintis TNB ini betul-betul berdekatan dengan flat dan kondominium di tengah bandar raya.
“Kita juga telah diberikan kawasan yang agak sukar untuk kita laksanakan, namun begitu untuk fasa pertama ini kami berjaya laksanakan. Setiap peserta diberi 2,000 polibeg dan kami akan bantu serta beri tunjuk ajar, sokongan teknikal tentang cara menuai, membaja, menggunakan Internet benda (IoT) dalam pertanian, dron untuk pembajaan dan ilmu pertanian lain,” katanya.
Mohamad Khairil berkata pihaknya juga akan memperluas projek itu di kawasan lain melibatkan tanah seluas 24.281 hektar yang boleh memanfaatkan hingga 120 petani pada Januari depan.
“Buat masa ini kita sudah kenal pasti 60 ekar (24 hektar) di dalam kawasan majlis perbandaran seperti Majlis Perbandaran Kajang, Petaling Jaya dan Ampang Jaya.
“60 ekar ini kita akan jalankan satu daripadanya kita pilih (tanaman) cili, dan nanti akan ada tanaman nanas serta tanaman lain kita akan laksanakan di kawasan 60 ekar seterusnya,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga bercadang menarik golongan muda termasuk pelajar universiti untuk terlibat membangunkan program itu dengan melibatkan penggunaan alatan dan teknologi pertanian yang lebih memudahkan.
-- BERNAMA