AM

AIR SELANGOR TEROKA TEKNOLOGI RAWATAN AIR TERKINI GUNA KAEDAH AI

20/11/2024 01:23 PM

SHAH ALAM, 20 Nov (Bernama) -- Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sedang meneroka potensi penggunaan teknologi rawatan air terkini menggunakan aspek kecerdasan buatan (AI), persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu hari ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Ir Izham Hashim berkata teknologi berkenaan dijangka  digunakan bagi tujuan memantau, meramal dan mengesan kualiti sumber air mentah dari sungai sebelum dirawat di 34 loji rawatan air di Selangor. 

"Kerajaan negeri sentiasa terbuka dalam penggunaan Al, Internet Pelbagai Benda (IoT) , analitik lanjutan dan sensor jarak jauh yang boleh membantu mengawal pengesanan paras air bagi amaran awal banjir dan kualiti air dalam usaha meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengurusan air di Selangor. 

"Kerajaan negeri yakin sistem pengurusan air yang dibantu oleh teknologi loT, Al dan sensor jarak jauh boleh menjimatkan penggunaan air, mengurangkan kos dan menyumbang kepada kemampanan alam sekitar," katanya. 

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Nushi Mahfodz (PN-Semenyih) yang ingin tahu jika kerajaan negeri bercadang untuk meluaskan penggunaan teknologi AI dan IoT untuk mengawal pengesanan paras air, bagi amaran awal banjir dan kualiti air.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan