AM

POS KAWALAN SEMENTARA DIBINA TINGKAT KAWALAN KESELAMATAN DI ICQS SERUDONG

20/11/2024 04:13 PM

KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengemukakan permohonan peruntukan tambahan bagi membina pos kawalan sementara di tapak Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Serudong, Kalabakan, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata permohonan berkenaan telah dibuat pada 11 Okt lepas dan perkara berkenaan, yang penting bagi memastikan kawalan keselamatan di sempadan dipertingkatkan, masih dalam penelitian Kementerian Ekonomi.

"Pos kawalan sementara bertujuan bagi kawalan keluar masuk pengembara antara Malaysia dan Indonesia. Ini kerana lokasi berkenaan di Titik A708 belum dipersetujui oleh pihak Indonesia sebagai titik lintas sempadan atau Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) oleh kedua-dua negara.

"Pada masa ini, kawalan di tapak cadangan ICQS Serudong, Kalabakan sedang dilaksanakan oleh pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mengambil kira kawasan ini tidak berpenduduk serta telah terdapat Kem Luis kira-kira 2.5 kilometer dari sempadan tersebut yang diselia oleh pihak ATM," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Justin Wong Yung Bin (Warisan-Sri Tanjong) mengenai status pembinaan projek ICQS Serudong termasuk akses laluan jalan yang akan menjadi penghubung antara Sabah dan Kalimantan Utara apabila siap nanti.

Kerajaan negeri dan Persekutuan kini dalam proses membangunkan dua lokasi yang bersempadan terus dengan Kalimantan Utara iaitu di Serudong, Kalabakan dan Bantul, Pagalungan di Nabawan, dilaksanakan secara berfasa mengikut kelulusan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi.

Abidin berkata bagi menyokong dan memperkasa sektor ekonomi di Sabah, kerajaan negeri dan Persekutuan terus mempergiat pembangunan infrastruktur di kawasan sempadan Sabah-Kalimantan seperti jaringan jalan raya, bekalan elektrik dan air serta capaian telekomunikasi sebagai pemboleh daya. 

"Pelaksanaan pembangunan infrastruktur ini juga dilaksanakan secara dua fasa. Dalam Fasa Satu, kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) sedang melaksanakan Projek Menaik Taraf Jalan Akses ke Tapak Cadangan ICQS di Serudong, Kalabakan.

“Ini melibatkan jarak sejauh 19 kilometer dengan kos peruntukan sebanyak RM21.1 juta di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3) dan Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) biayaan Kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri, melalui pihak SEDIA akan memohon peruntukan tambahan berjumlah RM12 juta untuk meneruskan kerja menaik taraf jalan akses ke ICQS Serudong, Kalabakan yang berbaki 20 kilometer daripada kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata menerusi Fasa 2 , kerajaan negeri melalui Kementerian Kerja Raya persekutuan sedang melaksanakan kajian bagi Projek Membina Jalan Baharu dari Kalabakan ke Sempadan Malaysia (Serudong) - Indonesia (Simanggaris) - Kerja Awalan dan Reka Bentuk Awalan bagi tujuan pemilihan jajaran. 

Menurutnya, projek ini telah diluluskan dalam Rolling Plan Ketiga (RP3) RMK-12 dengan peruntukan sebanyak RM13 juta, yang mana kajian ini bermula pada bulan Mei 2024 dan dijangka siap pada Disember 2025.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan