MELAKA, 20 Nov (Bernama) -- Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan memperkemas dan memperluaskan pelaksanaan Modul Pakej Kasih MADANI kepada kumpulan sasar di seluruh negara pada tahun depan.
Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan LPPKN Hairil Fadzly Md Akir berkata sebanyak RM20 juta diperuntukkan kepada LPPKN pada Belanjawan 2025 dan ia akan dimanfaatkan bagi melaksanakan pakej berkenaan dan program-program lain yang berkaitan nilai kekeluargaan.
"Dalam tempoh setahun sejak diperkenalkan, kita telah siapkan semua modul-modul pembelajaran dan membuat program rintis serta memberi latihan kepada jurulatih utama.
"Pada tahun depan kita akan memberi latihan kepada pelatih-pelatih selain mengadakan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan bagi membantu mengembangkan Modul Pakej MADANI kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Melaka 2024 yang dirasmikan Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin.
Hairil Fadzly berkata pakej itu melibatkan program khusus iaitu Program Pra Perkahwinan SMARTSTART 2.0, Program KASIH Keibubapaan Digital, Program Kem Naungan KASIH dan Program KASIH Keluarga Ceria.
Beliau seterusnya berkata ia merupakan usaha dalam merealisasikan agenda keluarga yang kukuh sebagai elemen teras pembinaan sebuah negara berkonsepkan Malaysia MADANI.
"Ia meliputi aspek kesejahteraan keluarga seperti program keibubapaan, sokongan kepada ibu bekerja, penjagaan kanak-kanak dan warga emas," katanya.
-- BERNAMA