KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Jaguh angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan akan berkelana di Aceh, Indonesia selama dua minggu bermula Jumaat ini sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Dunia Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) di Bahrain, Disember depan.
Aniq berkata fokus beliau pada kem latihan itu adalah mengekalkan angkatan keseluruhan yang dilakukannya sebelum ini, selain cuba mengangkat bebanan yang lebih tinggi seberat 300 kilogram (kg).
“Ketika ini saya rasa tiada yang perlu diasah sangat berkaitan teknik, cuma perlu mengekalkan angkatan dan naikkan lagi jumlah bebanan.
“Jadi kem latihan di Aceh ini saya akan guna semaksimum mungkin untuk capai sasaran saya iaitu 300kg,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai lawannya pada kejohanan berkenaan, beliau menjangkakan bertemu seteru yang sama seperti ketika beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Beliau turut berharap mampu melakukan angkatan yang sempurna sekali gus memecahkan rekod kebangsaan miliknya (298kg) yang dilakukan pada Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024 di Suva, Fiji pada September lepas.
“Sasaran utama saya adalah melakukan angkatan yang sempurna dan kalau boleh nak pecah rekod kebangsaan. Kalau dapat penamat podium itu adalah rezeki,” ujarnya.
-- BERNAMA