MELAKA, 20 Nov (Bernama) -- Sebuah syarikat pembekal minyak masak didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas kesalahan menjual barang kawalan tersebut melebihi had dibenarkan kepada sebuah syarikat runcit, tiga tahun lepas.
Hakim Azaraorni Abd Rahman menjatuhi hukuman tersebut selepas syarikat Lesong Food Industries Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya Datuk Dr Zaini Md Taha mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan.
Berdasarkan pertuduhan, syarikat itu didapati telah menjual 240 unit minyak masak lima kilogram (kg) jenama Lesong berjumlah 1,200kg iaitu melebihi had kuantiti dalam lesen runcit Syarikat Era Prestij Resources.
Kesalahan tersebut dilakukan di premis syarikat berkenaan di Bandar Jasin Bestari, Seksyen 2 dalam daerah Jasin, Melaka pada 13 Ogos 2021.
Pertuduhan ke atas syarikat itu dibuat di bawah Seksyen 14 Akta Kawalan Bekalan yang jika disabitkan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama iaitu didenda tidak lebih RM2 juta dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda sekitar RM10,000 kerana dia kini tidak mampu selepas terpaksa menutup syarikatnya selain berdepan masalah kesihatan.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Muhammad 'Aqib Hasan Azhari dan Muhamad Ashraf Nashruddin memohon hukuman denda yang setimpal kerana kesalahan itu melibatkan barangan kawalan yang boleh menjejaskan bekalan minyak di pasaran dan membuka ruang kepada penyelewengan.
--BERNAMA