AM

MCPF CADANG PENJUALAN PERANTI ROKOK ELEKTRONIK DIHARAMKAN ATAU DIGANTUNG

20/11/2024 07:32 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan agar penjualan peranti rokok elektronik atau vape diharamkan atau digantung sementara kajian terhadap mekanisme serta dasar yang lebih efektif bagi mengawal penggunaan peranti tersebut dijalankan.

Naib Pengerusi Kanan MCPF Datuk Seri Ayub Yaakob berkata ia termasuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang mula dikuatkuasakan 1 Okt lepas selain penguatkuasaan berkesan dan sistematik untuk mengawal penyalahgunaan peranti itu oleh kanak-kanak bawah 18 tahun.

Beliau berkata MCPF menyokong penuh saranan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar penggunaan vape diharamkan secara total, bagi mengelakkan mudarat lebih besar kepada masyarakat terutama dalam kalangan remaja dan kanak-kanak sekolah.

“Meskipun cecair vape tidak memberi kesan dadah dalam tubuh seseorang, namun penggunaan cecair perisa seperti “magic mushroom” boleh memberi rangsangan halusinasi dan khayal serta kesan negatif lain kepada penghisapnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayub berkata Malaysia sepatutnya mencontohi negara jiran iaitu Singapura yang mengharamkan terus penggunaan serta penjualan vape dan menurut undang-undang republik berkenaan, individu yang memiliki, membeli atau menggunakan rokok elektronik dan komponen berkaitan boleh didenda sehingga S$2,000 (RM7,000) bagi setiap kesalahan.

Beliau berkata MCPF berpandangan Malaysia sepatutnya belajar daripada kesilapan sebelum ini yang mengakibatkan negara gagal menangani isu dadah dengan berkesan, malah hingga ke hari ini dadah masih menjadi musuh nombor satu negara.

“Penagihan bahan mengkhayalkan seperti ini bukan sahaja memberi kesan negatif kepada perkembangan otak manusia, malah ia boleh menjurus kepada aktiviti-aktiviti tidak sihat seperti ragut, kecurian, rogol dan sebagainya. Justeru, MCPF berpendapat perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh,” katanya.

Isnin lepas, Al-Sultan Abdullah yang menzahirkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan dadah di Pahang. 

“Ada beberapa daerah tertentu perlu diberi perhatian, sebab mereka terlibat antaranya bermula dengan rokok kemudian vape yang merosakkan kesihatan. Saya akan nyatakan kepada pihak kerajaan supaya vape ini perlu diharamkan secara total,” titah baginda. 

Johor menjadi negeri pertama di negara ini yang mengharamkan penggunaan vape iaitu bermula 1 Jan 2016.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr  Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak mengharamkan penjualan vape di peringkat nasional namun pihak berkuasa tempatan negeri berhak menentukan dasar masing-masing berhubung hal itu.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan