AM

SITUASI BANJIR TERENGGANU TIDAK BANYAK BERUBAH

21/11/2024 08:43 AM

KUALA TERENGGANU, 21 Nov (Bernama) -- Situasi banjir di Terengganu tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa terjejas sebanyak 2,579 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 2,581 orang malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan di daerah Kemaman yang paling terjejas, sebanyak 2,566 mangsa daripada 641 keluarga masih berlindung di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Balairaya Meraga Beris, Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, Darul Iman Training Centre (DITC), Balairaya Beris Nenas dan Balairaya Padang Kemunting.

Di Marang pula hanya 13 mangsa daripada empat keluarga masih berlindung di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai.

Sementara itu menurut https://publicinfobanjir.water.gov.my paras air sungai di Sungai Tumpat, Kampung Baru Kemasik, Kemaman telah melebihi paras amaran.

Selain itu, paras air di beberapa sungai lain juga telah mencapai paras waspada, termasuk: Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia (F1), Kuala Terengganu, Sungai Tersat di Kampung Sekayu (F1), Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang, Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu dan Sungai Nenas di Kampung Bukit, Setiu

Oleh itu, penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan