KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat keperluan untuk memperbaiki pengiktirafan antarabangsa terhadap kebebasan media di negara ini, namun wujud sedikit keterbatasan disebabkan terikat dengan isu 3R, iaitu raja, kaum dan agama.
Anwar berkata ini memandangkan Raja-raja Melayu meminta kerajaan agar lebih tegas dalam menangani isu berkenaan dan tidak mahu ia disentuh secara terbuka.
“Sementara kita izinkan orang bersuara, sidang Raja-raja Melayu sangat tegas dalam hal ini. Kita juga terikat dengan pandangan Raja-raja yang tidak mahu sebarang kecaman dilakukan di khalayak tanpa tindakan.
“Kalau kecaman terhadap saya berbakul-bakul, tiada tindakan. Tetapi jika ada laporan polis, polis akan uruskan. Saya terima teguran dari Pendang, memang ada keperluan untuk memperbaiki persepsi ini, tetapi kita ada keterbatasan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung kedudukan Malaysia yang jatuh 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 sekali gus menempatkan negara pada kedudukan ke-107 berbanding 73 tahun lalu.
Laporan yang dikeluarkan Reporters Without Borders (RSF) itu menunjukkan Malaysia mencatat 52.07 mata berbanding tahun lalu dengan pencapaian 62.83 mata.
-- BERNAMA