AM

YAYASAN RI SALUR DANA RM3.9 JUTA PERKASA KOMUNITI PEKAK

21/11/2024 12:14 PM

NILAI, 21 Nov (Bernama) -- Yayasan RI (Rizalman Ibrahim) melalui Dar Al Qari Resources menyumbang dana RM3.9 juta kepada Orang Kurang Upaya (OKU) khususnya komuniti OKU pekak.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh berkata yayasan diasaskan Datuk Rizalman Ibrahim itu, menyuntik dana bagi menjayakan Projek Terjemahan IshaRI melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau berkata projek itu secara tidak langsung membantu ahli penyelidik UMMI USIM melengkapkan terjemahan versi Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) yang sebelum ini hanya berupaya menyiapkan terjemahan Juz Amma dan beberapa surah pilihan versi BIM.

"Projek ini akan berjalan selama enam tahun bermula November lepas hingga Oktober 2030, dan USIM berbesar hati menubuhkan Kursi Kecemerlangan dalam Pemerkasaan Pendidikan Quran bagi komuniti OKU pendengaran diberi nama Kursi Dato’ Hj Rizalman Hj Ibrahim.

"Kursi ini turut menyasarkan aktiviti syarahan umum dan pembangunan aplikasi dan portal Quran IshaRI lengkap 30 Juz (Tilawah dan terjemahan)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata penubuhan kursi ini merupakan inisiatif USIM dalam rangka usaha bagi mendalami pembelajaran Quran yang inklusif kepada komuniti OKU pendengaran yang selama ini seakan tercicir dalam mempelajari Quran.

Jelasnya, usaha ini bagi meraikan potensi mereka iaitu tilawah secara visual menggunakan isyarat Kod Tangan Quran dan terjemahan berbantukan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM). 

“Kursi Kecemerlangan ini merangkumi pelbagai skop kerjasama antaranya syarahan umum dan pembangunan terjemahan Quran IshaRI. 

"Selain itu, pihak Yayasan RI melalui Dar Al Qari Resources (DAQR) turut berhasrat untuk mendapatkan khidmat UMMI untuk projek MusafiRI iaitu, program umrah bersama OKU dan projek outreach khidmat Quran bagi OKU”, katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan