PUTRAJAYA, 21 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam dalam majlis makan tengah hari di Seri Perdana di sini.
Lam yang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia, tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri pada 1.35 tengah hari.
Selain delegasi Lam, majlis makan tengah hari itu turut dihadiri isterinya Ngo Phuong Ly dan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Terdahulu, Lam dan Anwar mengadakan pertemuan bagi memperkukuh hubungan dua hala serta menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman bagi Meningkatkan Promosi Perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE); serta Memorandum Kerjasama antara PETRONAS dan PETROVIETNAM dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Semasa lawatannya, Lam juga dijadual bertemu Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah dan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul di Parlimen.
Kali terakhir Malaysia menerima kunjungan Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam adalah pada Mac 1994, setahun sebelum penyertaan rasmi Vietnam ke dalam ASEAN.
-- BERNAMA