AM

INSIDEN PENYU NAIK SEHINGGA KE JALAN RAYA BUKAN FENOMENA PELIK

21/11/2024 04:46 PM

DUNGUN, 21 Nov (Bernama) -- Kejadian penyu naik ke darat sehingga ke atas jalan raya yang berlaku di Pantai Teluk Lipat, Sura malam tadi bukan perkara pelik dan pernah berlaku sebelum ini, kata Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Ruzaidi Mamat.

Ruzaidi berkata pihaknya telah meneliti hantaran video yang tular di laman sosial itu dan mendapati penyu dewasa tersebut merupakan spesies penyu agar.

Beliau berkata haiwan tersebut berkemungkinan naik ke pantai untuk bertelur tetapi berpatah balik kerana gangguan cahaya terang dan bunyi bising dari kawasan sekitar.

"Pengaruh keadaan musim tengkujuh yang menjadikan kawasan pasir pantai terhad untuk penyu bertelur menyebabkan berlaku insiden haiwan itu naik sampai ke jalan pantai.

"Difahamkan penyu ini tidak bertelur malah telah turun semula ke pantai disebabkan gangguan cahaya atau bunyi bising dari kawasan sekitar," katanya ketika dihubungi Bernama.

Ruzaidi berkata penyu betina boleh mendarat untuk bertelur antara lima hingga enam kali semusim. 

Menurutnya walaupun musim penyu bertelur telah berakhir iaitu pada Oktober lepas, terdapat kemungkinan penyu itu naik bertelur pada penghujung kitaran.

"Penyu betina ini mempunyai naluri istimewa dan boleh menentukan jantina telur sendiri. Penyu betina akan bertelur di kawasan bersuhu lebih sejuk iaitu berpokok yang jaraknya lebih 150 meter dari pantai untuk menghasilkan anak jantan.

"...manakala untuk dapatkan betina pula, ia akan bertelur kawasan terbuka yang suhunya lebih panas," katanya sambil menasihati orang ramai supaya tidak mengganggu penyu yang naik ke pantai.

Tambah beliau musim bertelur penyu adalah antara April hingga Oktober dengan kemuncaknya pada Mei hingga Ogos.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan